Friday, May 10, 2024

'ELOK KITA SAJA YANG TANAM BAWANG' - HARIAN METRO - 09/05/2024

 

Kuala Lumpur: Mekanisme pemantauan harga barang perlu diwujudkan bagi mengawal peningkatan harga bawang yang tinggi pada masa ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, melaluinya, pihak yang bertanggungjawab dapat menyelia kenaikan dan kawalan harga bawang yang ditetapkan pembekal.

"Jadi apabila 'mekanisme' itu diwujudkan, pengguna secara tidak langsung boleh membuat aduan berkenaan harga yang ditawarkan pembekal.

"Tetapi di sini, walaupun tiada aduan dilaporkan, pihak berwajib masih perlu menyelia harga bawang di pasaran," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, pembekal import juga perlu memberi justifikasi atas tindakan mereka menaikkan harga bawang.

"Kita tertanya-tanya kenapa perlu naik harga bawang? Sedangkan kita boleh menanam bawang," katanya.

Sementara itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, isu kenaikan harga bawang ini tidak boleh dikawal kerana ia bergantung kepada permintaan pembekal semasa.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak baik juga menyumbang kepada penanaman dan pengeluaran bawang di India yang terhad.

"Oleh kerana Malaysia import bahan itu di sana dan apabila terdapat krisis banjir yang berlaku beberapa tahun lepas, ia secara tidak langsung mengakibatkan harga bawang meningkat secara mendadak.

"Negara kita memang bergantung sepenuhnya kepada bawang import, jadi disebabkan itulah pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) telah pun merangka pelan jangka masa panjang," katanya.

Nur Asyikin berkata, Mardi sudah memulakan langkah untuk penanaman bawang tempatan untuk tahun 2024 dan dijangka akan dituai pada 2026.

"Ini adalah satu inisiatif yang bagus untuk Malaysia agar kita tidak bergantung sepenuhnya dengan bawang import lagi.

"Harga bawang juga akan mulai stabil kerana ia dapat memenuhi permintaan semua pengguna," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'ELOK KITA SAJA YANG TANAM BAWANG'

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1088620/elok-kita-saja-yang-tanam-bawang

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...