Wednesday, March 29, 2023

PPIM GESA KDN, JAKIM SIASAT CETI HARAM HINA AGAMA ISLAM - BERITA HARIAN - 29/03/2023

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa segera menyiasat tindakan ceti haram atau along yang menghina agama Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, mohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk siasat perkara itu secara serius.

"Saya tidak lihat ada keperluan untuk menghina agama Islam.

"Kata-kata yang digunakan itu sehingga saya sendiri tidak sanggup untuk membacanya. Kita tidak boleh berdiam diri apabila dimaki dan dicerca.

"Perkara ini boleh menjadi ancaman kepada keharmonian negara kerana mereka memaki orang Melayu dan juga orang Islam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penyelidikan Latihan PPIM, Izham Nayan dan Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri.

Selain itu, Nadzim juga menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan ceti haram atau along yang semakin aktif beroperasi secara dalam talian.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu lebih peka terhadap isu ini kerana ianya membabitkan keselamatan dan juga data peribadi pengguna.

"Pengguna akan meminjam wang menggunakan aplikasi yang dimuat turun. Apabila mereka menggunakan aplikasi ini maklumat peribadi yang terkandung dalam telefon pintar mereka boleh diakses oleh along.

"Menteri yang berkenaan perlu melihat isu ini dengan lebih mendalam, kes membabitkan along ini memang biasa tetapi kegiatan atas talian ini luar biasa. Apabila data daripada telefon pintar pengguna dapat diakses, along dapat melakukan apa sahaja yang mereka mahukan," katanya.

Nadzim juga berkata, terdapat segelintir along itu tidak mempunyai perasaan takut kepada pihak polis, malah mencabar supaya laporan polis dilakukan terhadapnya.

"Perkara ini terjadi setiap hari dan juga sudah lama berlaku. Saya harapkan akan ada satu perubahan. Oleh sebab itu, saya mohon pihak polis dan MCMC tubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani masalah ini.

"Takkanlah kita mahu biarkan pengguna meminjam sebanyak RM150 tetapi perlu membayar semua sebanyak RM5,000. Sesuatu tindakan dilakukan, apa lagi yang kita tunggu. Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan," katanya.

Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menunjukkan bukti ceti haram atau along menghina agama Islam di Pejabat PPIM, Jalan Tun Ismail. -Foto HAZREEN MOHAMAD

Artikel oleh: Berita Harian

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...