Thursday, March 30, 2023

PPIM GESA KERAJAAN PEKA SINDIKET AH LONG 'ONLINE' - KOSMO - 29/03/2023

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket ah long yang kini aktif secara atas talian dan melampaui batas sehingga menghina agama Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, sindiket ah long merupakan satu isu besar namun masih boleh ditangani.

Katanya, isu ini bertambah kritikal apabila ah long giat menggunakan aplikasi yang mana sangat berbahaya kerana membolehkan pihak ketiga mengakses segala maklumat peminjam.

“Terdapat satu kes pinjaman yang mana pengadu hanya meminjam RM150 namun bayaran balik mencecah RM2,000 dalam tempoh sebulan.

“Setelah memuat turun aplikasi tertentu, ah long dapat segala akses dalam telefon pintar termasuk maklumat peribadi peminjam khususnya ahli keluarga terdekat.

“Kita mohon semua pihak kaji perkara ini yang mana impaknya menyebabkan keretakan rumah tangga dan sebagainya. Mungkin Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu lebih peka tentang sindiket ini,”katanya ketika sidang akhbar di Villa Puteri kondominium, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, sindiket ah long juga dilihat semakin melampaui batas apabila mereka tergamak menghina serta memaki hamun agama Islam.

“Golongan ini terlalu lama melakukan aktiviti ini sehingga mereka tidak gerun dengan pihak polis dan jawatankuasa lain.

“Mereka bertindak menghina serta memakai hamun agama sekiranya peminjam lambat atau gagal membuat bayaran.

“Selain itu, kebanyakan ah long ini juga tidak boleh bercakap bahasa Melayu, hanya mampu memaki hamun agama dan Melayu,” ujarnya.

Nadzim berkata, tindakan sedemikian menjadi ancaman serta mengganggu gugat keharmonian dalam masyarakat majmuk.

“Justeru, PPIM mohon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), MCMC, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu lebih serius terhadap sindiket ini.

“Kita yakin sekiranya tindakan tegas diambil, segala permasalahan berkait sindiket ini dapat dibanteras sekali gus menghentikan tindakan mereka yang menabur kebencian dan memaki hamun Islam tanpa sebab,” tegasnya.


Artikel oleh: Kosmo

PPIM GESA KERAJAAN PEKA SINDIKET AH LONG 'ONLINE'

https://www.kosmo.com.my/2023/03/29/ppim-gesa-kerajaan-peka-sindiket-ah-long-online/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...