Thursday, March 30, 2023

PERLU ADA JAWATANKUASA KHAS TANGANI AH LONG LICIK - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 30/03/2023

 

KUALA LUMPUR —Jawatankuasa khas membanteras peminjam wang tanpa lesen atau ‘ah long’ perlu ditubuhkan kerana modus operandi kumpulan itu semakin licik.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sindiket itu kini menggunakan media sosial untuk mempromosikan kegiatan mereka.

Katanya, ah long-ah long tersebut menggunakan kata-kata manis pada iklan di laman sosial dan kredit komuniti untuk memperdaya mangsa menekan pautan.

Pautan itu kemudian akan membawa kepada aplikasi standalone yang akan dimuat turun dan membolehkan ah long mendapatkan akses kepada maklumat peribadi melalui telefon bimbit mangsa.

“Apabila mangsa klik pada pautan berkenaan dan memberi persetujuan kepada aplikasi berkenaan secara automatik segala maklumat akan dihantar kepada pihak ketiga yang dikawal along.

“Sindiket kemudian akan menghantar mesej seolah-olah meminta bantuan kewangan kepada keluarga atau sesiapa sahaja kenalan di dalam telefon bimbit mangsa.

“Para kenalan yang bersimpati akan membayarkan hutang berkenaan kononnya untuk menolong mangsa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Jelas Nadzim, walaupun telefon bimbit dibekalkan dengan sistem keselamatan tetapi ia boleh dilangkau apabila akses diberikan selepas mangsa menekan persetujuan pada aplikasi tertentu.

Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengkaji permasalahan ini dan bertindak tegas.

Sementara itu, Nadzim turut mendakwa terdapat ah long yang bukan sahaja tidak gentar dengan pihak berkuasa seperti polis malah kumpulan itu juga menghina Islam.

Dalam video yang dipaparkan semasa sidang media menunjukkan ah long terbabit mengugut, maki hamun mangsa termasuk menghina Islam dan polis.

Selain itu, Nadzim turut berkongsi satu salinan kad pengenalan mangsa yang diconteng dengan kata-kata kesat.

Katanya, pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan SKMM tidak boleh membiarkan hasutan seumpamanya berlarutan.

Ini kerana menurut Nadzim, ia akan mengganggu kedaulatan Islam dan keharmonian negara.

Dalam pada itu, berkongsi tentang keghairahan ah long menaikkan bayaran ‘bunga’ terhadap mangsa, Ketua Operasi PPIM (Banteras Ah Long), Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, hanya kerana lewat lima minit membayar hutang, bunga akan dinaikkan dari RM200 hingga ke RM5,000. -MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PERLU ADA JAWATANKUASA KHAS TANGANI AH LONG LICIK - PPIM

https://malaysiagazette.com/2023/03/29/perlu-ada-jawatankuasa-khas-tangani-ah-long-licik-ppim/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...