Thursday, March 30, 2023

ALONG SEMAKIN MELAMPAU, BANTERAS SEBELUM PARAH - PPIM [METROTV] - HARIAN METRO - 29/03/2023

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa bertindak tegas dengan sindiket ceti haram atau along yang didapati semakin licik memperdaya orang ramai termasuk kaedah terkini menggunakan sistem aplikasi.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kebiasaannya sindiket menggunakan iklan di media sosial seperti Facebook (FB) dengan ayat baik termasuk kredit komuniti sebelum individu terpedaya untuk menekan pautan.

Katanya, ia akan membawa kepada aplikasi tertentu yang membolehkan sindiket along mengawal telefon milik mangsa.

"Apabila mangsa klik di FB dan setuju, ia secara automatik dihantar kepada pihak ketiga dikawal along. Segala nombor turut dalam kawalan sindiket dan mereka biasanya akan 'serang' keluarga terdekat mangsa.

Pihak keluarga mangsa sangkakan memang mangsa yang kongsikan nombor telefon mereka sedangkan sindiket sudah menguasai telefon.

Sebanyak mungkin kenalan itu akan bayarkan untuk satu hutang kononnya untuk menolong mangsa melunaskan hutang," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun telefon mempunyai sistem keselamatan atau sekuriti tetapi ia boleh diambil alih apabila mangsa sudah mengklik persetujuan tertentu.

"Bukan saja Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah Komunikasi dan Digital (KKD), malah semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kena kaji perkara ini dan bertindak tegas.

"Aplikasi digunakan sindiket berupaya menyedut maklumat sebelum maklumat itu dimanipulasi untuk memperdaya sehingga menyebabkan kerugian besar," katanya.

Sementara itu, Nadzim turut meminta pihak berkuasa membanteras along yang bukan saja tidak gentar dengan polis malah ada video tersebar menghina Islam.

Katanya, pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan SKMM tidak boleh membiarkan hasutan seumpamanya berlarutan.

"Antara masalah besar apabila kita lihat kepada profil video seumpamanya ialah mereka tak boleh bercakap Melayu dengan baik. Ini datang daripada sistem pendidikan mana.

"Ia mengganggu gugat Islam sekali gus keharmonian negara. Nanti akan wujud situasi kumpulan ini akan terus membenci khususnya orang Islam dan orang Melayu.

"Siapa mereka ini yang kerjanya nak merosakkan perhubungan antara kaum? Tak ada sebab sebenarnya untuk mereka berbuat begitu memaki hamun. KDN, Jakim, SKMM perlu bertindak segera sebab memang ada yang tak kena dengan senario ini," katanya.

NADZIM (tengah) pada sidang media berkaitan isu along di ibu negara. FOTO Hazreen Mohamad.

Artikel oleh: Harian Metro

ALONG SEMAKIN MELAMPAU, BANTERAS SEBELUM PARAH - PPIM [METROTV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/03/950901/along-semakin-melampau-banteras-sebelum-parah-ppim-metrotv

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...