Saturday, November 18, 2017

4220) MASALAH KEWANGAN PUNCA PENCARUM KWSP TERJEBAK SINDIKET – BERNAMA – 18/11/17


BERITA DAN ARTIKEL OLEH : BERNAMA
TAJUK : MASALAH KEWANGAN PUNCA PENCARUM KWSP TERJEBAK SINDIKET – BERNAMA 

Oleh Mohd Yusof Saari


PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) — Tidak memahami syarat pengeluaran, sukar mendapat pinjaman dan tertekan dengan kos sara hidup merupakan antara punca pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjebak dan mudah tertipu dengan aktiviti penipuan pengeluaran simpanan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Keadaan itu menyaksikan pencarum sanggup berpakat dengan sindiket atau ejen yang sentiasa ‘mempunyai maklumat’ mereka yang berdepan masalah kewangan sehingga sanggup bekerjasama menipu KWSP dengan menyediakan dokumen palsu bagi merealisasikan hasrat memiliki ‘sejumlah wang’.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mendedahkan terdapat pencarum yang berpakat dengan syarikat perumahan dan ejen hartanah untuk menipu KWSP semata-mata bagi mendapatkan hak ke atas wang simpanan mereka walaupun menyedari ia adalah tindakan yang salah.
Dengan menyasarkan pekerja sektor swasta berumur antara 30 hingga 50 tahun, beliau berkata sindiket atau ejen berkenaan seolah-olah mempunyai data lengkap mereka yang terdesak sebelum menghampiri, berbincang seterusnya berpakat bagaimana untuk bertindak agar wang simpanan boleh dikeluarkan.
Berkongsi kisah mangsa sindiket pengeluaran wang caruman KWSP, Nadzim berkata ada di antara pengadu mengakui mengalami gangguan mental dan emosi selepas berurusan dengan sindiket tersebut kerana mereka bukan sahaja menipu, malah turut ditipu setelah wang simpanan berjaya dikeluarkan.
“Mereka katakan ia sebagai tipu keliling atau tipu 100 peratus iaitu sama-sama berpakat menipu KWSP dan selepas simpanan berjaya ditunaikan, mereka pula ditipu ejen sehingga tidak mendapat sesen pun daripada pengeluaran wang hasil keringat sendiri.
“Mereka akui pengeluaran bukan untuk tujuan membeli rumah atau hartanah seperti dinyatakan di dalam dokumen yang diserahkan kepada KWSP tetapi ia lebih kepada tekanan untuk memiliki wang segera, apatah lagi setelah termakan kata-kata manis sindiket bahawa wang itu milik mereka dan mereka berhak ke atasnya dalam apa cara sekalipun,” katanya kepada Bernama.
Nadzim berkata sejak tiga tahun lepas sehingga kini, PPIM telah menerima kurang daripada 10 aduan berkenaan kes seumpama itu.
Beliau berkata walaupun masih rendah, pakatan penipuan secara bersama antara pencarum dengan sindiket, ejen atau pihak berkepentingan lain perlu dibendung sebelum menjadi lebih parah kerana pencarum bukan sahaja perlu membayar fi atau wang perkhidmatan kepada pihak tersebut sehingga 10 ke 40 peratus daripada jumlah pengeluaran, tetapi lebih malang ada di antara mereka terpaksa ‘berendam air mata’ apabila ditipu oleh pihak yang diberikan kepercayaan.
“Kita nasihatkan pencarum agar menghargai nilai wang yang disimpan hasil daripada titik peluh mereka dengan tidak mudah mempercayai sindiket atau ejen yang menawarkan pertolongan mengeluarkan wang caruman dan lebih utama, pencarum perlu sedar KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga dan mengenakan sebarang bayaran dalam urusan pengeluaran wang simpanan tersebut,” katanya.
Kes melibatkan pencarum yang menipu untuk mengeluarkan wang simpanan pekerja sehingga berani menggunakan sindiket tertentu bagi mengeluarkan wang simpanan mereka walau berdepan risiko tinggi termasuk caj sampingan ejen juga dipercayai terjadi akibat perancangan kewangan yang tidak efisien serta penggunaan kad kredit untuk melakukan pembelian tidak mustahak.
Anggota Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata tiada perancangan kewangan peribadi dan penggunaan kad kredit tanpa kawalan akan menyebabkan hutang seseorang individu bertambah lalu mendorong mereka meminjam daripada pihak yang sentiasa mengintai peluang menggunakan mereka.
Walaupun tidak menerima aduan secara rasmi, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), itu berkata pemerhatian pihaknya mendapati keadaan itu menyebabkan pencarum meminjam wang daripada sindiket tertentu untuk melunaskan hutang terdahulu yang tanpa disedari menjadikan mereka berhutang dengan sindiket tersebut.
Dalam situasi itu, sindiket akan mencadangkan supaya pemiutang mengeluarkan wang simpanan KWSP dan menawarkan bantuan menguruskannya dengan mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi kepada mangsa bagi melunaskan hutang walau terpaksa menipu atau mengemukakan dokumen palsu kepada KWSP, katanya.
Beliau berkata modus operandi sama turut digunakan bagi menjerat pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya daripada kalangan keluarga berpendapatan sederhana untuk memujuk ibu bapa mengeluarkan wang caruman atas nama pengeluaran pendidikan, satu daripada pengeluaran yang dibenarkan dibuat oleh pencarum daripada Akaun 2 bagi tujuan membiayai pengajian mereka atau anak mereka di peringkat pengajian tinggi.
“Kami sedar pelajar amat mudah menjadi mangsa sebagaimana mudahnya mereka terjebak dengan sindiket penipuan berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM) dan atas kebimbangan itu, kami di USIM sentiasa memberi penerangan tentang caruman KWSP dan prosedur pengeluaran serta kepentingannya kepada masa depan pencarum, khususnya kepada pelajar-pelajar baharu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan KWSP telah membuat laporan polis berhubung 312 kes penipuan pengeluaran KWSP yang membabitkan pencarum dan dua institusi pengajian tinggi swasta yang bersubahat dengan pencarum membuat penipuan pengeluaran simpanan KWSP dengan berselindung menawarkan kursus di institusi berkenaan.
Sementara itu, KWSP mengingatkan pencarum agar tidak terpedaya dan terpengaruh dengan muslihat sindiket yang mengambil kesempatan kemudahan pengeluaran Akaun 2 melalui iklan yang dikesan dilakukan secara aktif melalui media sosial, apatah lagi iklan perkhidmatan tersebut secara haram menggunakan logo KWSP untuk meyakinkan pencarum.
Selain mempunyai sistem yang sangat komprehensif untuk mengesan percubaan penipuan dokumen, KWSP juga tidak pernah melantik atau meluluskan perkhidmatan pihak ketiga dengan tujuan mempercepatkan permohonan pengeluaran, malah pencarum yang memenuhi kriteria pengeluaran boleh pergi ke mana-mana cawangan KWSP dan memohon pengeluaran tanpa perlu melalui ejen atau pihak ketiga.
Mengikut laporan akhbar, sebanyak 85 kes cubaan penipuan pengeluaran direkodkan KWSP pada 2015, diikuti 152 kes tahun lepas dan 63 kes setakat Jun tahun ini yang mana sindiket menggunakan iklan di media sosial, risalah dan iklan yang menjanjikan kelulusan mudah bagi pengeluaran wang daripada pencarum sebagai modus operandi.
Berdasarkan Akta KWSP 1991, pencarum yang didapati bersalah membabitkan dokumen palsu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
— BERNAMA

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...