Tuesday, November 7, 2017

4205) 50,000 INDIVIDU MUFLIS AKAN DIBANTU – BERITA HARIAN – 4/11/17



KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan semua 50,000 individu muflis daripada status kebankrapan dalam tempoh lima tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata individu berkenaan termasuk mereka yang diisytiharkan muflis akibat masalah teknikal atau menjadi penjamin sosial pinjaman untuk tempoh yang lama.
“Kita mahu melepaskan mereka daripada kongkongan hutang yang ditanggung disebabkan keprihatinan mereka (penjamin sosial), kita mahu agar dapat diselesaikan 100 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Mungkin agak berat tetapi tidak mustahil dilakukan,” katanya pada ucapan penutup Forum Pengguna Ke-7 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Menara FELDA di sini hari ini.

 Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Penasihat Kehormat PPIM, Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim; Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman; dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Terdahulu, Azalina berkata kerajaan akan berunding dengan pihak institusi kewangan dan bank selepas pilihan raya umum untuk mencari mekanisme penyelesaian terbaik bagi menangani isu 50,000 individu muflis di negara ini yang majoritinya adalah Bumiputera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tumpuan akan diberikan kepada individu yang sudah berumur, sakit dan penjamin sosial.
Mengulas mengenai hasrat kerajaan itu, Nadzim berkata isu individu muflis harus segera diselesaikan kerana ada kalangan individu terbabit diisytiharkan muflis melebihi tempoh 10 tahun.
Pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan khas RM500,000 kepada PPIM.
Sebanyak tujuh resolusi diluluskan pada forum itu, termasuk meminta kerajaan lebih terbuka dalam mendengar aduan rakyat dan memperuntukkan kerusi Senator kepada PPIM bagi mewakili suara pengguna.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...