Wednesday, November 22, 2017

4223) RUGI RM1.6 JUTA. 35 JEMAAH HAJI DITIPU – SIDANG MEDIA PPIM – 21/11/17




KUALA LUMPUR 21 November – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan dari mangsa-mangsa Jemaah Haji yang terpedaya dengan pakej “VIP”. Kes ini melibatkan bakal-bakal jemaah tidak dapat menunaikan ibadah Haji sedangkan bayaran penuh telah dibuat dengan kos yang sangat tinggi.
Ekoran dari itu, hajat seramai 35 orang Jemaah untuk menunaikan ibadah Haji pada September 2017 lalu terbantut apabila kesemua mereka terkandas di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) disebabkan ketiadaan visa Haji.

Ketua Aktivis PPIM, Toqqi berkata ada juga mangsa yang mendapat visa tetapi tiada tiket penerbangan.
“Kita berharap sidang media ini dapat membuka mata pengguna, pihak kawal selia Haji dan Umrah supaya perkara seperti ini tidak berterusan menipu pengguna” katanya.

“Walaupun Visa Haji Furada ini sah dari segi undang-undang Kerajaan Arab Saudi, jemaah yg menggunakan visa ini tidak termasuk dalam kawal selia Tabung Haji. Mereka tiada rekod didalam sistem Tabung Haji. Contohnya tidak boleh mendapatkan rawatan khidmat kesihatan dimana-mana Klinik Tabung Haji atau Hospital Tabung Haji di Tanah Suci nanti. Jadi mungkin pihak Tabung Haji perlu pantau bagi mereka yang menggunakan visa Haji Furada” kata Aktivis PPIM, Mazlina Abu Bakar.
Syarikat yang menganiaya mangsa-mangsa jemaah Haji ini tidak mempunyai lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan syarikat tersebut hanya menguruskan Haji Furada kerana Haji Furada ini tidak tertakluk kepada (PJH).
Mazlina Abu Bakar mendakwa syarikat tersebut membeli visa haji Furada ini terus dengan Kerajaan Arab Saudi dan tidak melalui Tabung Haji. “Kita mohon pihak Tabung Haji campur tangan untuk kawal selia visa VIP ini.” Jelas beliau.


Panel Perundangan PPIM, Mohamad Siddiq Azani berkata bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi, mungkin boleh wujudkan satu akta ataupun satu suruhanjaya khas untuk mengawal selia Jemaah Haji dan Umrah.
“Syarikat-syarikat yang mengendalikan kursus pakej Haji dan Umrah ini perlu memberi satu insurans. Jadi, jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, peserta-peserta Jemaah Haji boleh menuntut insurans mereka” jelasnya.



“Kami di maklumkan, syarikat Hj. Harun Seh Umrah & Tours Sdn.Bhd ini telah beroperasi sejak tahun 2000 lagi dan tahun ini paling banyak mereka menipu para-para Jemaah haji”, dakwa mangsa.
Pihak Syarikat Hj. Harun Seh Umrah & Tours Sdn. Bhd terus gagal dihubungi oleh mangsa-mangsa Jemaah malah hanya terus berdiam diri sehingga hari ini.
Oleh itu, PPIM ingin menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pelbagai tawaran pakej haji ‘VIP’ dan tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...