Datuk Nadzim menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap pemilik premis judi yang membenarkan orang Islam berjudi. -Foto TRP/ Wan Kah Hoong
KUALA LUMPUR, 26 Mei:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak Kementerian Kewangan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menggantung lesen judi mana-mana premis perjudian yang membenarkan orang Islam berjudi di negara ini.
Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, masalah orang Islam berjudi bukanlah suatu yang baru kerana premis perjudian itu mempunyai lesen yang sah.
Bagaimanapun, Nadzim mempersoalkan kenapa premis berkenaan masih membenarkan orang Islam berjudi sedangkan sudah tertulis di papan tanda di luar premis berkenaan bahawa orang Islam dilarang berjudi.
“Kami terima banyak aduan berkenaan judi haram dan judi halal. Malah sejak kebelakangan ini, ramai orang Islam berjudi tanpa segan silu.
“Hal ini suatu yang serius kerana premis judi itu membenarkan orang Islam berjudi dan ia akan memburukkan imej orang Islam itu sendiri. Oleh itu, PPIM menggesa supaya pihak berwajib menggantungkan sahaja lesen perjudian mereka,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, premis yang membenarkan orang Islam berjudi tidak dikenakan apa-apa tindakan malah pihak berwajib sendiri tidak mengambil berat akan hal ini.
“Pihak berkuasa sendiri tidak memantau atau mengawasi premis perjudian ini dan sehingga kini, tidak ada premis yang digantung lesen perniagaan mereka. Kalau lesen mereka digantung, barulah mereka tak berani benarkan orang Islam berjudi.
“Jika perkara ini tidak diambil tindakan yang sewajarnya, kami risau imej orang Islam akan semakin buruk. Kami minta agar semua pihak peka dan sensitif akan hal ini,” katanya.
Nadzim berkata, masalah perjudian bukanlah masalah orang Islam sahaja malah ia melibatkan keseluruhan masyarakat Malaysia.
“Mungkin ada yang berkata masalah ini hanya melibatkan orang Islam sahaja tetapi sebenarnya semua masyarakat boleh terjejas kerana berjudi merupakan masalah yang besar.
“Sebagai permulaan dia berjudi, lepas itu curi kasut dan tabung masjid kemudiannya merompak, meragut dan membunuh atau buat jenayah lain yang lebih membimbangkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment