Friday, May 15, 2015

2637) SINAR HARIAN - 14/05/15 - Doktor, Juruterbang Pun Jadi Mangsa Ah Long

Doktor, juruterbang pun jadi mangsa ah long
Yati ketika berurusan dengan ah long yang datang ke pejabat PPIM Keramat membuat tuntutan hutang peminjam bagi kes yang dikendalikan.

Doktor, juruterbang pun jadi mangsa ah long
PPIM bertindak sebagai orang tengah dengan menyerahkan wang yang dipinjam setiap bulan kepada ah long sehingga hutang individu tersebut selesai


KUALA LUMPUR - Ramai menganggap peminjam ah long terdiri daripada golongan miskin terdesak, namun siapa sangka golongan profesional juga terjebak.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Unit Tindakan Aduan Ah Long/ Gores dan Menang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Keramat yang dikhaskan untuk mengendalikan kes-kes membabitkan peminjam ah long.

Penolong Ketua Unit berkenaan, Yati Saharudin berkata, banyak kes melibatkan peminjam yang mempunyai gaji lumayan, namun disebabkan desakan wang mereka sanggup meminjam daripada lintah darat ini tanpa berfikir panjang.

“Ada yang pangkat Datuk Seri, doktor, juruterbang, pegawai bank, malah polis juga ada yang tampil di PPIM kerana tidak dapat langsaikan hutang dengan ah long.

“Selain alasan pusingan modal perniagaan, mereka ini rata-ratanya suka berjudi dan pasang ‘perempuan’,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Yati, sejak Januari, pihaknya menerima tidak kurang 180 kes melibatkan peminjam ah long dan syarikat peminjam wang berlesen yang ‘kering poket’ dan hilang punca untuk membayar wang bunga.

“Kebanyakan kes, mereka hanya membayar bunga sahaja. Kerana jika mahu bayar pokok perlu bayar sekali gus. Tapi yang bunga pun mereka tidak mampu bayar, lalu buat pula pinjaman dengan ‘buka akaun’ baru dengan ah long yang sama mahupun ah
long berlainan.

“Malangnya pinjaman kedua atau ketiga yang dibuat masih gagal langsaikan hutang bunga pertama, ditambah dengan hutang bunga pinjaman baru. Maka, makin lama hutang bunga bertambah.

“Ada satu kes dia hanya buat pinjaman permulaan RM300,000 dan berdasarkan rekod dia sudah bayar bunga sahaja RM426,000. Namun disebabkan buat beberapa pinjaman lain dengan 10 ah long berbeza, jumlah hutangnya kini mencecah RM2.7 juta,” katanya.


Helah ah long buat mangsa terperangkap

Dua taktik yang sering digunakan ah long sehingga membuatkan peminjam terperangkap adalah peminjam diuji dengan diberi pinjaman sedikit terlebih dahulu berbanding jumlah pinjaman yang mahu dibuat.

Yati berkata, sebagai contoh seorang individu mahu membuat pinjaman berjumlah RM150,000, ah long akan bagi syarat kepada peminjam kononnya mahu uji disiplin bayaran balik sebelum membenarkan pinjaman jumlah besar diberikan.

“Ah long akan kata bos dia bagi pinjam RM5,000 dahulu dan perlu bayar balik dalam tempoh 10 hari. Tapi tak sampai separuh pun jumlah itu dapat di tangan. Oleh kerana peminjam mahu kejar pinjaman RM150,000 ini, dia pinjam pula dengan ah long lain untuk bayar RM5,000.

“Perkara sama akan diulang oleh ah long membuatkan si peminjam menambah beberapa hutang dengan ah long lain. Akhirnya kononnya ada bayaran yang tak konsisten, ah long pertama tadi bagi alasan bosnya tidak luluskan pinjaman awal berjumlah RM150,000 yang dikejar. Jadi peminjam ini sudah terjebak dengan hutang yang menimbun.

“Satu lagi taktik, peminjam disuruh masukkan sejumlah wang sebelum membolehkan pinjaman besar yang mahu dibuat diluluskan ah long pertama. Si peminjam ini pula buat pinjaman lain dengan ah long kedua untuk masukkan wang yang diminta ah long pertama. Akhirnya ah long pertama lesap, ah long kedua tuntut wang,” katanya.


Tak ambil tahu dokumen perjanjian

Disebabkan terdesak, boleh dikatakan rata-rata peminjam langsung tidak peka dengan segala dokumen berkaitan perjanjian yang dibuat dengan ah long mahupun syarikat peminjam wang berlesen.

Berdasarkan rekod aduan di PPIM, tiada satu pun antara pengadu yang mendapat salinan dokumen perjanjian pinjaman yang dibuat.

“Terdapat satu kes baharu diterima si peminjam mahu pinjam RM55,000 sahaja pada ah long dengan alasan mahu langsaikan pinjaman rumah kerana mahu jual. Setelah tandatangan perjanjian, tanpa pengetahuan peminjam, ah long telah bertindak menyelesaikan hutang rumah berkenaan.

“Sekarang ini jumlah hutang yang dituntut ah long sudah mencecah RM490,000 kononnya sekali dengan wang yang dibayar kepada bank. Walhal baki hutang rumah kira-kira RM200,000 sahaja. Jadi peminjam ini kini buntu dan bimbang rumah tergadai,” katanya.


PPIM ‘matikan’ bunga

Tidak mudah untuk menyelesaikan setiap kes yang diterima kerana ia membabitkan perjanjian yang sudah ditandatangani.

Namun PPIM sedaya upaya memastikan masalah yang dibawa dapat diselesaikan sehingga hutang yang dituntut langsai.

“Kebanyakan adalah melibatkan pinjaman yang dibuat dengan ceti haram. Namun dengan mereka ini kami senang berurusan berbanding syarikat peminjam wang berlesen kerana isu surat perjanjian yang telah ditandatangani peminjam.

“Apa yang kita lakukan adalah dengan membuat rundingan dengan ah long agar ‘matikan’ bunga yang dituntut. Sebaliknya peminjam akan bayar wang hutang pokok sahaja.

“Peminjam akan bayar sejumlah wang setiap bulan kepada PPIM untuk diserahkan kepada ah long sehingga hutangnya selesai. Jadi PPIM bertindak jadi orang tengah,” katanya.

Ujar Yati, daripada kesemua aduan yang diterima tahun ini, 20 peratus daripadanya sudah selesai setelah peminjam melangsaikan hutang pokok dan lain-lain masih dalam proses rundingan dengan ah long.

Bagaimanapun jelasnya, terdapat juga masalah yang timbul apabila si peminjam tidak disiplin dalam urusan bayaran setiap bulan membuatkan hutang yang sepatutnya sudah langsai masih tertunggak.

“Ada kes sejak 2009, hutangnya hanya RM35,000 sahaja dan perjanjian bayaran dibuat RM2,000 sebulan sama seperti bayaran bunga yang dibayar kepada ah long sebelum ini.

“Namun peminjam ini ambil kesempatan bayar sedikit sahaja setiap bulan kerana sudah dikira hutang pokok. Situasi ini banyak berlaku jadi timbul masalah untuk kita berurusan dengan ah long,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...