Tuesday, February 24, 2015

2498) MYNEWSHUB - 23/02/2015 - Caj Telekomunikasi: PPIM Gesa SKMM ‘Disiplinkan’ Industri


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekali lagi menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk ‘mendisiplinkan’ industri telekomunikasi dan memastikan pengguna tidak terus terbeban dengan caj berlebihan.
PPIM berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memantau rapi syarikat-syarikat telekomunikasi supaya pengguna tidak terus teraniaya kerana perlu membayar pelbagai perkhidmatan yang tidak diperlukan.
Berdasarkan rekod aduan yang diterima PPIM, caj-caj telekomunikasi adalah antara senarai teratas dalam perbelanjaan isi rumah dan ada pengguna yang membelanjakan antara lima hingga 20 peratus daripada pendapatan atau gaji pengguna untuk membayarnya.
“Kami juga menerima banyak aduan mengenai caj berlebihan atau caj perkhidmatan yang tidak diminta dan caj tanpa justifikasi. Malah, kami melihat daripada pelbagai aduan pengguna yang merasakan mereka teraniaya dengan berbagai-bagai jenis perkhidmatan yang tidak perlu dan tidak diminta,” kata PPIM dalam kenyataan di sini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menyambut baik saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini supaya caj telekomunikasi dikurangkan ekoran penurunan kos pemasangan talian gentian optik susulan kejatuhan harga minyak dunia.
Sebelum ini, PPIM pernah mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan sebuah badan atau suruhanjaya bagi mengawal caj yang dianggap tidak munasabah terhadap pengguna termasuk caj telekomunikasi.
Dalam pada itu, PPIM mencadangkan SKMM supaya mewujudkan mekanisma kalibrasi (ukuran bermeter) yang akan dipantau dan disahkan oleh Akta Timbang dan Sukat atau Akta Telekomunikasi, dan membatalkan perkhidmatan terselindung serta aplikasi yang mengenakan caj tersembunyi.
Selain itu, SKMM juga diminta memasti syarikat telekomunikasi meningkatkan mutu perkhidmatan dengan segera dan memperluaskan kawasan liputan masing-masing.
“Kami berharap pihak menteri akan menyinsing lengan dalam perkara ini dan pihak pengguna tidak perlu melakukan usaha ala boikot sebagai bantahan kerana telah lama ‘diperguna’,” kata PPIM.
SKMM dalam kenyataan pada 16 Feb lepas berkata ia akan melaksanakan kajian semula kadar runcit perkhidmatan telekomunikasi bagi mengurangkan beban rakyat.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata SKMM akan bekerjasama dengan pihak industri bagi membangunkan harga pakej jalur lebar yang berpatutan bagi memastikan pengguna menerima manfaat jangka panjang. – BERNAMA

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...