Friday, February 6, 2015

2468) ANTARAPOS - 03/02/2015 - Kenyataan Ismail Sabri Bukan Rasis Tapi Isu Kepenggunaan, Kata PPIM

Post Pic

SHAH ALAM: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempertahankan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung cadangannya yang meminta pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, baru-baru ini.
 
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kenyataan tersebut tidak boleh dilihat sebagai rasis, kerana ia adalah kenyataan yang dibuat dari sudut kepenggunaan.
 
Justeru beliau sama sekali menyanggah kenyataan pemimpin DAP yang menyifatkan Ismail Sabri sengaja mahu menyemarakkan kebencian terhadap kaum Cina dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian. 
 
"Itu memang kerja DAP. Memang mereka suka semarakkan semangat orang marah," ujarnya kepada Antarapos, merujuk kepada kenyataan seorang Ahli Parlimen daripada DAP, Ong Kian Ming.
 
Jelas Nadzim, DAP sengaja 'mengalihkan' perhatian untuk membuatkan seolah-olah kaum Cina yang menjadi mangsa kepada sikap rasis orang Melayu, sedangkan parti berkenaan yang mengamalkan rasis.
 
Malah ujar Nadzim, sebaliknya kaum Melayu adalah yang menjadi mangsa rasis apabila terdapat khabar yang mengatakan restoran yang berkonsep kopitiam, Old Town White Coffee tidak dibuka francais kepada kaum Melayu.
 
"DAP tidak mempunyai hak untuk bercerita pasal semangat.. itu memang kerja dia (menyemarakkan kemarahan). Dia (DAP) yang buat begitu jadi tak payahlah dia komen. Lebih baik dia tidak melibatkan diri dia dalam membuat komen yang berkaitan perkara yang sensitif sebagaimana yang dia biasa buat," ujarnya.    
 
Ong yang juga Ahli Parlimen Serdang hari ini berkata, kenyataan Ismail Sabri pada Ahad lalu bukan saja menimbulkan perasaan benci dan dengki orang Melayu terhadap peniaga berbangsa Cina, malah ia juga menyemarakkan rasa benci terhadap masyarakat Cina secara umum. 
 
Ong juga mengaitkan kenyataan berkenaan sebagai berunsur hasutan kerana menepati Artikel 3 (1) (e) dalam Akta Hasutan 1948 yang menyatakan sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.
 
Justeru, beliau menyeru agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Ismail Sabri memohon maaf atas kenyataannya itu dan menarik balik tuduhan tidak berasas terhadap peniaga Cina.
 
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, apa yang disuarakan Ismail Sabri adalah hakikat yang perlu diakui semua pihak. 
 
Malah tambahnya, apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri yang meminta kaum Melayu memboikot peniaga Cina, adalah antara satu tindakan tegas bagi mengelakkan pengguna terus tertindas, yang mana langkah itu pasti akan berkesan sama seperti yang pernah dilakukan terhadap McDonalds, tidak lama dulu. 
 

"Saya tak lihat perkara itu sebagai satu perkara yang kita tak harus terima apabila kita telah merdeka hampir 60 tahun. Jadi kita harus terima fakta itu, tak payah nak berselindung kononnya kita bagus dan sebagainya," kata beliau.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...