Thursday, February 12, 2015

2481) SINAR - 08/02/2015 - Desak Mansuhkan Caj Perkhidmatan

Walaupun tiada cukai kerajaan, namun caj ada perkhidmatan 10 peratus di sebuah restoran di Lembah Klang, baru-baru ini.
Walaupun tiada cukai kerajaan, namun caj ada perkhidmatan 10 peratus di sebuah restoran di Lembah Klang, baru-baru ini.

PENIAGA didesak supaya memansuhkan caj perkhidmatan terhadap pelanggan kerana ia tidak memberi nilai tambah, sebaliknya menambah beban pengguna apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ini kerana, caj perkhidmatan dilihat sudah tidak lagi relevan memandangkan tiada perkhidmatan tambahan diperoleh pengguna, ketika ini.

“Sebelum ini, peniaga mengenakan caj perkhidmatan atas perkhidmatan dan layanan tambahan yang diberikan terhadap pelanggan. Caj perkhidmatan dimiliki oleh syarikat yang diberi kepada kakitangannya.

“Jika dahulu, bila kita ke restoran contohnya, tempahan diambil di meja, makanan dihidangkan dan kita tidak perlu berjalan ke kaunter buat pembayaran. Namun, sekarang tidak lagi, malah, ada kedai yang kita perlu ke kaunter untuk membuat tempahan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan memansuhkan caj perkhidmatan ekoran tambahan kos yang perlu ditanggung pengguna apabila GST dilaksanakan 1 April ini.

Mohd Yusof berkata, Fomca sudah mengajukan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Januari lalu.

“Kita berharap kerajaan akan kaji balik caj perkhidmatan yang tidak memberi keperluan kepada pengguna. Tidak berbaloi pengguna membayar tambahan 10 peratus daripada harga makanan yang dibelinya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, KPDNKK perlu meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menindas pengguna.

“Apabila GST dilaksanakan, bermakna hanya GST sahaja yang berkuat kuasa dan caj perkhidmatan sepatutnya tidak dikenakan lagi. Pengguna dinasihatkan supaya meminta resit setiap kali membuat bayaran dan simpan resit itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pemantauan harga secara berterusan perlu dilaksanakan memandangkan terdapat segelintir peniaga mungkin akan memasukkan kos tambahan ke dalam harga barangan pelanggan apabila caj perkhidmatan dimansuhkan.

“KPDNKK perlu melakukan pemantauan harga sebelum dan selepas GST dilaksanakan. Kalau harga barang naik tiba-tiba, tidak termasuk GST dan tanpa ada faktor yang menyokong kenaikannya, ia mungkin ada kaitan dengan pemansuhan caj perkhidmatan itu,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, caj perkhidmatan yang dibayar pengguna selama ini bukan cukai kerajaan, sebaliknya caj yang dikenakan oleh perniagaan.

Sehubungan itu, katanya, pengguna berkemungkinan tetap dikenakan caj tersebut apabila GST dikuatkuasakan 1 April ini.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...