Thursday, February 12, 2015

2478) SINAR - 07/02/2015 - Siang, Malam Barang Kita Naik

*KATA Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, sekarang adalah masa terbaik bagi pemborong dan peniaga untuk menurunkan harga barangan.

Bukan sahaja menteri, pengguna pun berpendapat – dan berharap – sedemikian. Almaklumlah harga minyak sudah beberapa kali turun sejak kaedah pengapungan harga dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.

Penurunan terkini pada 1 Februari, minyak RON95 dijual pada harga RM1.70 (turun 21 sen) seliter, RON97 RM2 (11 sen), diesel RM1.70 (23 sen). Tiga kali harga minyak turun dalam tempoh dua bulan, logiknya harga barang lain pun patut turun.

Hasan telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak industri daripada peringkat pengilang, pemborong, pembekal sehingga peruncit, semua memberi reaksi positif.
Tetapi, sehingga hari ini belum ada barang turun harga. Sana-sini orang ramai mengeluh barang terus naik, tidak kira siang atau malam.


*MINYAK naik atau minyak turun, pengguna juga yang selalu rugi. Sejarah membuktikan setiap kali harga minyak naik, dalam masa beberapa jam peniaga akan segera menaikkan harga barang.

Minyak naik, barang pun naik ikut suka peniaga. Semua peniaga melonjakkan harga atas alasan kos pengangkutan naik. Hatta penjual cendol dan rojak atas basikal pun menaikkan harga jualan.

Jam 12 malam minyak naik, jam 10 pagi cendol sudah tukar harga.

Minyak naik 10 sen seliter, tetapi cendol naik 10 sen semangkuk. Pada hal penjual cendol tidak terlibat dengan petrol, sebab basikal tidak menggunakan bahan bakar.

Barang-barang keperluan lain pun ikut naik harga, bagaikan tidak terkawal. Sudahlah harga naik, saiz makin kecil. Roti canai, goreng pisang, nasi lemak, apam balik semua makin kecil. Hatta gelas teh tarik pun makin kecil.

Pendek kata apabila minyak naik, semua barang naik sekelip mata. Tetapi apabila minyak turun, barang tetap naik. Demikianlah nasib pengguna kita, naik atau turun pasti kena cekik darah. Ada sesiapa kisah?


*APA yang kelakar (sebenarnya menyakitkan hati!) dalam keadaan barang serba-serbi naik, kerajaan menyeru orang ramai supaya menjadi pengguna bijak dan berbelanja secara berhemah.

Selalu juga diuar-uarkan supaya orang ramai menggunakan kuasa pengguna, iaitu dengan membeli hanya yang perlu. Satu lagi seruan klise kepada pengguna: “Jika harga mahal, boikot!”

Bagi rakyat terbanyak @ orang biasa, tidak payah diseru pun mereka memang sentiasa berhemah. Dengan pendapatan hanya cukup makan, mereka tidak bermewah dan membeli hanya yang perlu.

Ada pun yang perlu bagi mereka ialah beras, gandum, gula, barang dapur, uniform sekolah anak, tambang bas sekolah. Mereka tidak ada kudrat untuk memikirkan intan berlian, beg tangan Louis Vuitton dan lain-lain barang mewah.

Boikot? Macam mana hendak boikot jika itu barang keperluan? Contoh: macam mana hendak boikot ayam sebab itulah satu-satunya lauk paling murah yang termampu oleh kebanyakan orang. Kalau boikot ayam, hendak makan apa? Sebab ikan, udang, sotong, ketam semua berkali ganda lebih mahal daripada ayam. Orang berduit boleh boikot ayam sebab mereka mampu beli daging import dari Australia!


*AKHIR kalam, seperti yang dilaporkan media, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan menubuhkan satu kumpulan pakar yang berperanan mengkaji harga barangan bagi mengelakkan peniaga memanipulasi harga sewenangnya.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, penubuhan kumpulan itu amat diperlukan pada masa sekarang memandangkan harga barangan di pasaran berada di tahap tidak menentu berikutan turun naik harga minyak (petrol dan diesel).

“Kumpulan pakar ini boleh menentukan harga barangan pengguna, contohnya jika harga petrol turun sebanyak lima peratus, harga barangan juga perlu diturunkan sebanyak lima peratus.

“Kumpulan ini juga perlu membuat kajian apakah kesan harga barangan terhadap pengguna bila harga minyak naik atau turun, dengan ini pengguna boleh turut sama menentukan harga barang,” katanya.

Baguslah kalau cadangan tersebut menjadi kenyataan. Tetapi kalau tiada kumpulan pakar pun kerajaan boleh melakukan peranan tersebut. Kerajaan ada banyak kementerian, berbagai-bagai agensi, ada macam-macam pakar, ada sekian banyak undang-undang dan akta. Tidak payah tubuh pasukan pakar pun kerajaan boleh memantau dan mengawal harga barang. Kena tegaslah!


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...