Friday, February 6, 2015

2471) MSTAR - 05/02/2015 - Boikot Air Mineral Lebih RM1 - PPIM

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (tiga, kanan) dan Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (dua, kanan) ketika melancarkan kempen boikot air mineral pada sidang media di Kuala Lumpur, Khamis. -fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya orang ramai memboikot semua jenis air mineral 500 mililiter (ml) yang melebihi harga RM1.00.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata menerusi Jawatankuasa Consumer Research Boycott Centre, usaha boikot itu disaran bagi tempoh tiga bulan bermula Khamis dan kajian mengenainya akan dijalankan.

"Kita memilih air mineral sebagai permulaan kepada kajian kami memandangkan harganya yang tidak munasabah di pasaran terutama di premis makanan. Ada yang menjual sehingga RM3.50 berbanding kebiasaan RM1.00.

"Harga tersebut lebih mahal daripada harga minyak petrol terbaharu. Harga kos bagi 500ml air mineral lebih kurang RM0.50 dan selepas mengambil kira keuntungan sebanyak 70 peratus, ia sepatutnya dijual pada kadar tidak melebihi RM1.00 sahaja," katanya pada sidang media kempen boikot air mineral oleh Jawatankuasa Consumer Research Boycott Centre di sini, Khamis.


Nadzim juga berkata, masalah harga barang yang tidak turun bukan seratus peratus disebabkan oleh peniaga tetapi pengguna sendiri yang tidak mengambil peduli serta kurang sensitif akan harga barang di pasaran.

"Pengguna agak terleka dan tidak ambil tahu dengan harga air mineral yang  tidak munasabah. Hanya tahu menyalahkan harga minyak petrol naik sahaja tetapi benda kecil seperti air mineral tersebut tidak pula diambil kira.

"Pengguna harus mendidik diri supaya peka akan harga barang di pasaran dan mengambil bil setiap kali membayar sesuatu barang sama ada di kedai atau di restoran seterusnya membuat perbandingan harga," katanya.

Nadzim berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya pengguna menunjukkan hak dengan memilih barangan yang lebih murah tanpa perlu menunggu harga kawalan daripada kerajaan.

"Pengguna harus tunjukkan hak serta menentapkan harga permintaan. Kalau harga air mineral lebih daripada RM1.00, tak payahlah beli. Sebelum kerajaan meletakkan harga kawalan, kita sendiri boleh boikot jika harga barang tersebut tidak turun.

"Kita juga ada minta kerajaan mengadakan harga siling yang dimulakan dengan air mineral ini," katanya


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...