Friday, February 6, 2015

2472) SINAR - 06/02/2015 - PPIM: Lebih Baik Minum Petrol

Nadzim (tiga, kanan) dan Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (dua, kanan) ketika melancarkan kempen boikot air mineral pada sidang media, semalam.
Nadzim (tiga, kanan) dan Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak (dua, kanan) ketika melancarkan kempen boikot air mineral pada sidang media, semalam.

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa orang ramai memboikot air mineral 500 mililiter (ml) yang dijual lebih RM1.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna telah ditipu sekian lama dan sepatutnya air mineral 500ml berharga sekitar 70 sen sebotol.

Menurutnya, air mineral bagi saiz itu kini dijual pada harga berbeza di seluruh Malaysia dengan ada yang menjualnya sehingga mencecah RM3.30 sebotol.

“Ada satu air mineral harganya tidak masuk akal memandangkan proses untuk menghasilkan sebotol air mineral tidak begitu rumit.

“Malah jika dikira, harga minyak petrol yang melalui pelbagai proses dalam kuantiti 500ml lebih murah daripada harga sebotol air mineral bersaiz sama.

“Harga minyak petrol RON95 dalam kuantiti 500ml hanya 85 sen. Jadi kalau nak kata, lebih baik minum minyak petrol sebab lagi murah,” sindirnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, semalam, untuk mengumumkan produk pertama yang perlu diboikot pengguna dalam usaha menekan peniaga untuk menurunkan harga barang.

Menurutnya, keputusan untuk memboikot air mineral melebihi RM1 telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Cuepacs dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan melalui pusat koordinasi boikot yang telah ditubuhkan PPIM.

“Tempoh boikot yang telah kami persetujui ialah selama tiga bulan dan kita akan kaji semula jika pihak syarikat atau peniaga mengemukakan maklumat atau fakta kepada pihak kami.

“Kami jangkakan dalam tempoh beberapa hari sahaja harga air mineral akan jatuh sekiranya masyarakat menyokong kempen ini.

"Kami juga akan uar-uarkan perkara ini dalam media sosial,” katanya.

Menurutnya, ada banyak jenama air mineral di bawah RM1 sebotol yang boleh dibeli masyarakat.

“Contohnya di pasar raya Tesco, air mineral pada saiz 500ml hanya berharga 49 sen sahaja sebotol,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat mempunyai pilihan untuk memboikot dan menunjukkan kuasa yang dimiliki pengguna agar peniaga menurunkan harga dan tidak menindas pengguna.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung 1 Cuepacs, Adnan Mat menyeru penjawat awam untuk turut serta menyokong kempen ini.

“Harus diakui penjawat awam gajinya tidak besar dan penurunan harga barang akan memberikan manfaat besar kepada mereka,” katanya.



Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/ppim-lebih-baik-minum-petrol-1.357534

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...