Showing posts with label JUDI DALAM TALIAN. Show all posts
Showing posts with label JUDI DALAM TALIAN. Show all posts

Tuesday, January 7, 2025

JUAL RUMAH KELUARGA UNTUK LANGSAI HUTANG JUDI DALAM TALIAN - HARIAN METRO - 07/01/2025

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang semakin ramai orang Melayu yang terjebak dalam perangkap judi secara atas talian.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, aktiviti tidak bermoral itu menunjukkan peningkatan mendadak apabila sindiket kini menggunakan individu tertentu sebagai wajah promosi perniagaan judi mereka di platform media sosial.

Taktik itu, katanya, disifatkan biadab apabila sindiket memanfaatkan sentimen tekanan kewangan atau masalah ekonomi untuk menarik mangsa khususnya orang Melayu.

"Sindiket judi dalam talian menggunakan janji manis seperti menyelesaikan masalah kewangan atau membantu ahli keluarga yang sakit untuk memperdaya mangsa.

"Mereka menjanjikan keuntungan mudah dan pantas, kononnya boleh menyelesaikan segala masalah hidup. Malangnya, ramai yang terjebak tanpa sedar bahawa ini adalah perangkap," katanya.

Beliau berkata, individu yang terbelenggu dengan ketagihan judi bukan sahaja meruntuhkan kehidupan sendiri, malah ahli keluarga turut terpalit selain boleh menjadi 'barah' jika tidak ditangani segera.

Memberikan contoh kes, katanya, PPIM menerima aduan individu yang sanggup meminjam wang daripada Along malah ada tergamak menjual rumah keluarga semata-mata untuk melangsaikan hutang judi dalam talian.

"Ada ibu bapa datang kepada kami meminta bantuan kerana anak mereka berhutang akibat ketagihan judi. Akhirnya, mereka terpaksa menjual rumah untuk membayar hutang itu. Ini contoh situasi yang sangat membimbangkan.

"Walaupun pihak berkuasa dilaporkan sudah menyekat lebih 25,000 laman web judi dalam talian, sindiket terus menggunakan pelbagai platform untuk meneruskan operasi.

"Sindiket memanfaatkan media sosial dan turut menggunakan aplikasi komunikasi untuk mengiklankan perkhidmatan mereka," katanya.

Menurutnya, aktiviti judi secara atas talian sangat mudah diakses dan sindiket didakwa ada menyediakan modal permulaan untuk menarik lebih ramai pemain.

Katanya, masalah ini memerlukan tindakan tegas daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa untuk menjadikannya satu kesalahan yang serius dan berat.

Beliau juga menyarankan kempen kesedaran yang berterusan dijalankan di samping memperkenalkan hukuman lebih berat untuk mengurangkan seterusnya menghapuskan kegiatan haram itu.

"Selagi judi dalam talian tidak dijadikan kesalahan serius di sisi undang-undang, ia akan terus berkembang. Kita perlu bersatu untuk menjadikan ini satu isu nasional yang memerlukan perhatian semua pihak.

"Walaupun PPIM bercadang untuk melancarkan kempen kesedaran, kami mengakui berhadapan kekangan sumber.

"Justeru, kami memerlukan kerjasama dengan pihak berkaitan termasuk polis untuk memastikan usaha membanteras judi dalam talian berjaya. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu menangani masalah ini," katanya.

Katanya, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa judi dalam talian kini menjadi cabaran besar yang memerlukan tindakan segera secara bersama untuk melindungi masyarakat daripada terus terjerat dalam perangkap memusnahkan.

Artikel oleh: Harian Metro

JUAL RUMAH KELUARGA UNTUK LANGSAI HUTANG JUDI DALAM TALIAN

https://www.hmetro.com.my/utama/2025/01/1173729/jual-rumah-keluarga-untuk-langsai-hutang-judi-dalam-talian

Wednesday, October 18, 2023

'RAWAT' KELEMAHAN POCA CEGAH JUDI DALAM TALIAN - BERITA HARIAN - 16/10/2023

 

Gesaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menggesa Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan kembali untuk memerangi aktiviti jenayah terancang, termasuk sindiket judi perlu diberikan perhatian ekoran Akta Rumah Judi Terbuka 1953 tidak mampu untuk menumpaskan kegiatan judi haram, terutama beroperasi dalam talian.

Kita wajar melihat cabaran dari aspek keterangan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap sindiket judi dalam talian dan kesannya kepada ketenteraman awam yang menyentuh Perkara 149(1)(f) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengakui kesukaran membendung judi dalam talian kerana ia tidak termasuk dalam ruang lingkup Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan 1953.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan beberapa langkah ke hadapan untuk menjejaki dan menumpaskan kegiatan mereka.

Beberapa langkah diperlukan PDRM untuk membanteras kegiatan judi dalam talian ialah menerusi pendekatan dibenarkan POCA kini terhalang akibat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes 'Nivesh Nair a/l Mohan'.

Dalam kes itu, Seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan atas sebab merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Pendekatan diambil Mahkamah Persekutuan dalam kes itu berbeza dengan penafsiran Seksyen 4 POCA dalam kes Zaidi Kanapiah apabila keputusan majoriti merumuskan majistret masih boleh menjalankan budi bicara secara kehakiman demi memastikan semua perlindungan perundangan, tatacara dan Perlembagaan dipatuhi secara ketat sebelum mengeluarkan perintah reman.

Kelangsungan POCA turut tercabar dalam kes Lei Meng apabila Mahkamah Persekutuan mentafsirkan judi dalam talian simpliciter tidak termasuk dalam skop POCA yang menurutnya terbatas dalam ruang lingkup Perkara 149(1)(a) Perlembagaan.

Pendekatan tafsiran membatalkan Seksyen 4 dan 15B POCA sedangkan terdapat Lembaga Penasihat menurut Perkara 151, pindaan terhadap Perkara 121, kuasa semakan kehakiman tidak dicabut secara mutlak serta POCA dibataskan hanya terhadap tindakan menyebabkan keganasan terancang terhadap orang, harta atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut sedangkan judi haram tersenarai dalam Jadual Pertama POCA adalah bersifat radikal.

Ini kerana matlamat penggubalannya bertujuan untuk mencegah tindakan memudaratkan ketenteraman awam menurut Perkara 149(1)(f) tidak diambil kira.

POCA perlu dilihat sebagai undang-undang digubal Parlimen untuk menjelaskan maksud dan kehendak Perkara 149(1)(f) bagi menangani tindakan memudaratkan ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau memudaratkan keselamatannya selari dengan pertimbangan diberikan dalam kes Zaidi Kanapiah.

Kegiatan judi dalam talian memanfaatkan teknologi moden seperti Facebook, WhatsApp, WeChat dan Telegram serta aplikasi rangkaian persendirian maya (VPN) yang belum ada ketika Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan 1953 digubal.

Sesiapa sahaja mempunyai telefon pintar boleh berjudi tanpa bergantung kepada talian tetap, mudah bertukar nombor untuk elak dikesan dan tidak lagi perlu menyewa premis. Transaksi tambah nilai wang judi boleh dilakukan secara perbankan dalam talian atau mesin ATM.

PDRM kena lindungi peminjam along

Kegiatan itu merentasi sempadan negara dan apabila terjebak ramai ketagihan tanpa mengira status, usia dan taraf hidup. Ketagihan inilah akhirnya menjebakkan mereka dengan along, iaitu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Malah mengikut maklumat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), ada juga berhutang dengan along untuk berjudi dalam talian. Sumber PPIM menunjukkan ramai penjawat awam turut terbabit dengan along akibat kalah judi dalam talian.

Hutang dengan along mengakibatkan banyak kes ugutan, peras ugut dan gangguan hingga ada kes bunuh diri. Di samping itu, terdapat kes cerai, keganasan rumah tangga, rasuah, kemurungan, buang kerja, pengambilan dadah dan penipuan bergejala.

Pembabitan penjawat awam dengan along perlu diawasi khususnya mereka yang terbabit dengan agensi keselamatan negara. Perlu dikhuatiri rahsia kerajaan boleh terlepas ke pihak tidak berkenaan sekiranya berlaku peras ugut sebagai galang ganti hutang.

Ancaman sedemikian tidak dilihat mustahil kerana ada kejadian peminjam terpaksa menyerahkan gambar bogel sendiri untuk melunaskan bunga.

Data PPIM pada 2022 menunjukkan sebanyak 9,563 aduan dan sehingga Oktober 2023 pula, terdapat 4,302 aduan berkaitan along yang sebahagiannya berpunca daripada perjudian.

Asas digunakan mahkamah untuk mempertikai keabsahan mana-mana peruntukan POCA perlu diperhalusi dengan memasukkan elemen boleh meningkatkan tadbir urus baik, pada masa sama, memberikan keutamaan kepada matlamat pencegahan bagi maksud ketenteraman awam.

Sindiket judi dalam talian menurut Ketua Urusetia (Perundangan) Ketua Polis Negara, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Abdul Rahman Atan, turut mempunyai rantaian dengan sindiket judi konvensional dan along serta aktiviti jenayah lain seperti dadah, pelacuran dan penyeludupan manusia.

Sebagai langkah segera, PDRM disarankan melindungi peminjam daripada ancaman along. Sindiket along pastinya dapat ditumpaskan secara bersistematik sekiranya mereka tidak lagi berani memberikan pinjaman kerana berisiko tidak mendapat bayaran balik pinjaman, malah diburu polis akibat penindasan dilakukan.

Langkah ini secara tidak langsung dapat memutuskan sumber kewangan kepada penagih judi dalam talian dan kegiatan jenayah terancang. Semua pemegang taruh perlu duduk bersama untuk merawat sebarang kelemahan POCA dari aspek penggubalan dan pelaksanaannya.

Di samping itu, mahkamah juga perlu mengutamakan sikap untuk menyampaikan teguran membina dan pendekatan penafsiran secara harmonis sesuai dengan fungsinya diperuntukkan undang-undang.

Penulis adalah Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Artikel oleh: Berita Harian

'RAWAT' KELEMAHAN POCA CEGAH JUDI DALAM TALIAN

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/10/1165810/rawat-kelemahan-poca-cegah-judi-dalam-talian

Monday, October 16, 2023

JUDI DALAM TALIAN MEMUDARATKAN KETENTERAMAN AWAM - UTUSAN MALAYSIA - 16/10/2023


KOMITMEN Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk melumpuhkan kegiatan judi haram menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius untuk memelihara ketenteraman awam di negara kita. Ini adalah kerana judi haram khususnya yang beroperasi dalam talian turut melibatkan jenayah terancang dan keganasan yang memudaratkan kesejahteraan hidup rakyat.

Gesaan beliau pada 25 Julai 2023 agar Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan kembali untuk memerangi aktiviti jenayah terancang termasuklah sindiket judi perlu dilihat secara holistik.

Rencana ini membincangkan kesan judi dalam talian terhadap ketenteraman awam yang boleh dicegah melalui Perkara 149(1)(f) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, rumah judi terbuka secara umumnya ialah mana-mana tempat bagi maksud judi dan loteri awam sama ada dapat diakses oleh orang ramai atau tidak dan mana-mana tempat jika lapan orang atau lebih sedang berjudi, jika mana-mana jurubank judi berada atau di mana judi dimainkan dan pembayaran berlaku bagi maksud perjudian.

Meskipun kerjasama turut diberikan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital untuk menyekat laman sesawang perjudian tetapi operator judi dalam talian akan membuka lawan sesawang baharu menyebabkan PDRM perlu melakukan beberapa langkah ke hadapan untuk menjejaki dan menumpas kegiatan mereka yang terlibat.

Beberapa langkah yang diperlukan oleh PDRM untuk membanteras kegiatan judi dalam talian ialah melalui pendekatan yang dibenarkan oleh POCA kini tergantung akibat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. N. Nivesh. Dalam kes tersebut, seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan atas sebab merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

POCA perlu dilihat sebagai undang-undang yang digubal oleh Parlimen untuk menjelaskan maksud dan kehendak Perkara 149(1)(f) bagi menangani tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau yang memudaratkan keselamatannya selari dengan pertimbangan yang diberikan dalam kes Zaidi Kanapiah yang turut memberikan tafsiran berbeza terhadap Perkara 121 dengan pendekatan yang lebih berperlembagaan.

Facebook, WhatsApp, WeChat dan Telegram serta aplikasi Virtual Private Network yang belum ada ketika Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan 1953 digubal memudahkan kegiatan jenayah rentas sempadan termasuklah judi atas talian.

Operasinya boleh dijalankan dengan telefon pintar, tanpa bergantung kepada talian tetap dan tidak lagi perlu menyewa premis.

Transaksi tambah nilai wang judi boleh dilakukan secara perbankan dalam talian ataupun mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selain kedai tambah nilai.

Operator judi dalam talian menukarkan nombor telefon yang digunakan dari masa ke semasa untuk mengelak dikesan.

Ketagihan judi dalam talian menjadi lebih parah apabila melibatkan ah long, iaitu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

PENJAWAT AWAM

Sumber Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan ramai penjawat awam turut terlibat dengan ah long akibat kalah judi dalam talian. Keberhutangan dengan ah long mengakibatkan banyak kes ugutan, peras ugut dan gangguan sehingga ada bunuh diri.

Di samping itu, terdapat kes cerai, keganasan rumah tangga, rasuah, kemurungan, buang kerja, pengambilan dadah dan penipuan yang bergejala.

Penglibatan penjawat awam dengan ah long khususnya mereka yang terlibat dengan agensi keselamatan negara perlu diawasi. Rahsia kerajaan boleh terlepas ke pihak yang tidak berkenaan sekiranya berlaku peras ugut oleh ah long sebagai galang ganti hutang.

Situasi tersebut memerlukan kerajaan bertindak dengan segera untuk meminda peruntukan POCA agar kegiatan judi dalam talian tidak dimanfaatkan oleh sindiket untuk melindungi diri daripada ditahan dan didakwa.

Menurut Ketua Urusetia (Perundangan) Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Abdul Rahman Atan, sindiket judi dalam talian turut mempunyai rantaian dengan sindiket judi konvensional dan ah long serta aktiviti jenayah lain seperti dadah, pelacuran dan penyeludupan manusia. PDRM memerlukan POCA untuk membenteras sindiket judi hingga ke akar umbi sekali gus dapat melumpuhkan organisasi jenayah terancang yang dibiayai oleh kegiatan jenayah tadi termasuklah judi dalam talian.

Asas yang digunakan mahkamah untuk mempertikai keabsahan mana-mana peruntukan POCA perlu diperhalusi dengan memasukkan elemen yang boleh meningkatkan tadbir urus yang baik tanpa membataskan kaedah siasatan bermatlamatkan pencegahan jenayah terancang dan ancaman kepada ketenteraman awam.

Sebagai langkah segera untuk membanteras kegiatan judi dalam talian dan ah long, PDRM disarankan melindungi peminjam daripada ancaman ah long. Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang biasa terlibat membantu mangsa ah long boleh diserapkan dalam pasukan Sukarelawan Simpanan Polis.

Sindiket ah long boleh tumpas sekiranya mereka tidak mendapat bayaran balik pinjaman malah diburu oleh PDRM akibat keganasan dan penindasan yang dilakukan. Langkah ini secara tidak langsung dapat menggalakkan aktiviti peminjaman wang yang sah mengikut undang-undang serta melumpuhkan sumber kewangan jenayah terancang dan kaki judi.

Pencegahan terhadap kegiatan judi dalam talian dan jenayah terancang yang menggunakan kecanggihan teknologi digital tidak memadai dengan kaedah penguatkuasaan melalui undang-undang biasa.

Semua pemegang taruh perlu duduk bersama untuk merawat sebarang kelemahan POCA dari aspek penggubalan dan pelaksanaannya. Di samping itu mahkamah perlu mengambil pendekatan pentafsiran secara harmoni sesuai dengan fungsinya yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Perkara 128 berhubung doktrin ultra vires lebih sesuai diberi pertimbangan berbanding dengan Perkara 121 kerana POCA digubal bagi maksud Perkara 149 dan dipantau oleh Lembaga Penasihat menurut Perkara 151. Pada masa yang sama, mekanisme semak imbang perlu diberikan oleh Parlimen untuk meninjau kemajuan siasatan dan pemantauan kes.-UTUSAN

DATUK Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengasas Jurispruden Watan.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

JUDI DALAM TALIAN MEMUDARATKAN KETENTERAMAN AWAM

https://www.utusan.com.my/rencana/2023/10/judi-dalam-talian-memudaratkan-ketenteraman-awam/

Friday, October 6, 2023

EKSKLUSIF: LEBIH 30 PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN - BERITA RTM - 05/10/2023

 

KUALA LUMPUR, 5 Oktober -'Duduk goyang kaki kat rumah pun boleh dapat duit.'

Itu antara "ayat manis" atau taktik yang dikesan wartawan RTM terhadap lebih 30 individu yang cuba memancing pengguna media sosial lain ketika sedang asyik mempromosikan permainan judi dalam talian.

Kesemua mereka dipercayai pempengaruh dan juga pencipta kandungan; dilihat merakam video di Instagram dengan mempromosikan judi dalam talian secara terang-terangan kepada pelanggan.

Lebih membimbangkan, rata-rata mereka terdiri daripada golongan anak muda tanpa segan silu mempromosikan permainan judi, meskipun ditegur netizen.

Malah ada di antara mereka menutup ruangan komen supaya tidak menerima sebarang kecaman.

Melalui pemerhatian wartawan RTM, setiap daripada mereka menggunakan ayat promosi yang sama dan mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda.

Rata-rata mereka mengatakan bahawa pelanggan yang berjaya berdaftar dan berkongsi link (pautan laman sesawang) yang sama akan mendapat keuntungan sebanyak RM50.

Malah menurut mereka kononnya lebih ramai yang berdaftar menggunakan pautan sama, lebih banyak keuntungan akan diperolehi selain dapat bermain 'game' secara dalam talian.

Timbul persoalan adakah mereka tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga sensitivi bahawa judi adalah satu perkara yang jelas telah diharamkan Islam walaupun lesen judi dibenarkan untuk pelanggan bukan beragama Islam.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mempersoal sejauh mana tahap penguatkuasaan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam membendung aktiviti itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan bahawa kegiatan judi tidak boleh dipromosikan apatah lagi dipertaruhkan oleh individu beragama Islam.

"Kerja-kerja untuk membawa kesedaran itu sentiasa perlu dilakukan (oleh JAIN dan JAKIM) dan rakyat harus bangkit menentang benda yang tidak baik ini sama seperti kita menentang penggunaan dadah dan aktiviti haram yang lain-lain.

"Kita harapkan badan berwajib ini membuat sesuatu untuk membawa kesedaran mengikut (bidang) kuasa yang ada dalam undang-undang mereka sekali gus memberi kesan kepada masyarakat.

"Maknanya agensi-agensi yang ditugaskan untuk mengawal selia, menentukan halal dan haram perlu ada tindakan penguatkuasaan. Kalau setakat kata 'haram', orang pun tak kisah juga lah.

"Kalau influencer (pempengaruh) ini dipanggil oleh JAKIM atau dipanggil oleh mana-mana jabatan agama dan mereka boleh dikenakan tindakan tanpa perlu menunggu buat laporan polis," katanya ketika dihubungi oleh RTM.

Hasil pemerhatian wartawan RTM mengenai kewujudan video itu mendapati setakat 9 pagi tadi kira-kira 19 individu termasuk lelaki dan perempuan memuat naik video mereka ke Instagram dengan mempromosikan kegiatan judi itu.

Bila memasuki pada sebelah petang pula, angka itu melonjak naik selepas mendapati lebih 30 individu memuat naik kandungan sama.

Nadzim berkata, pempengaruh perlu mempunyai kesedaran untuk mempromosikan sesuatu perkara yang dibenarkan dan juga dilarang.

"Kadang-kadang mungkin zaman ini (mereka) terlalu ghairah atau tidak faham dan mengambil mudah kerana upah.

"Bahagian dakwah kena buat sesuatu dan benda ini perlu dilihat secara serius oleh kerajaan untuk menentukan agensi di bawah mereka melakukan apa yang perlu seperti mengawal selia dan mengawasi apa yang berlaku disekeliling kita.

"Kita faham dan mungkin orang lain tidak faham dan (akhirnya) mereka main ikut je untuk mempromosikan (kegiatan promosi judi)," jelasnya.

(Kanan - Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan & Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim - Kiri)

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyelar tindakan umat Islam yang sanggup membuat kandungan yang didakwa 'kandungan berbayar'.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana dari segi moralnya niat dan matlamat tidak menghalalkan cara.

"Sepatutnya kita sebagai orang Islam menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah pada benda yang mungkar.

"Bukan menyuruh orang untuk melakukan kemungkaran. Ia merupakan satu benda yang tidak baik dan mempunyai asas kesalahan dari segi undang-undang.

"Penguatkuasaaan perlu dilakukan oleh pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

Pada April 2021, negara dikejutkan dengan sebuah iklan perjudian melalui YouTube malah iklan berkenaan dilakonkan sendiri mereka yang beragama Islam dalam suasana sambutan hari raya.

Susulan itu, Jabatan Mufti Perak mengingatkan kepada umat Islam agar menjauhi dan menghindar sumber pendapatan yang tidak halal, ini termasuklah memperhalusi terma-terma dalam kontrak perjanjian sama ada mematuhi piawaian syarak atau tidak.

Artikel oleh: Berita RTM

EKSKLUSIF: LEBIH 30 PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN

https://berita.rtm.gov.my/index.php/jenayah/70444-eksklusif-leb

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL