Gesaan beliau pada 25 Julai 2023 agar Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan kembali untuk memerangi aktiviti jenayah terancang termasuklah sindiket judi perlu dilihat secara holistik.
Rencana ini membincangkan kesan judi dalam talian terhadap ketenteraman awam yang boleh dicegah melalui Perkara 149(1)(f) Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, rumah judi terbuka secara umumnya ialah mana-mana tempat bagi maksud judi dan loteri awam sama ada dapat diakses oleh orang ramai atau tidak dan mana-mana tempat jika lapan orang atau lebih sedang berjudi, jika mana-mana jurubank judi berada atau di mana judi dimainkan dan pembayaran berlaku bagi maksud perjudian.
Meskipun kerjasama turut diberikan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital untuk menyekat laman sesawang perjudian tetapi operator judi dalam talian akan membuka lawan sesawang baharu menyebabkan PDRM perlu melakukan beberapa langkah ke hadapan untuk menjejaki dan menumpas kegiatan mereka yang terlibat.
Beberapa langkah yang diperlukan oleh PDRM untuk membanteras kegiatan judi dalam talian ialah melalui pendekatan yang dibenarkan oleh POCA kini tergantung akibat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. N. Nivesh. Dalam kes tersebut, seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan atas sebab merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.
POCA perlu dilihat sebagai undang-undang yang digubal oleh Parlimen untuk menjelaskan maksud dan kehendak Perkara 149(1)(f) bagi menangani tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau yang memudaratkan keselamatannya selari dengan pertimbangan yang diberikan dalam kes Zaidi Kanapiah yang turut memberikan tafsiran berbeza terhadap Perkara 121 dengan pendekatan yang lebih berperlembagaan.
Facebook, WhatsApp, WeChat dan Telegram serta aplikasi Virtual Private Network yang belum ada ketika Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan 1953 digubal memudahkan kegiatan jenayah rentas sempadan termasuklah judi atas talian.
Operasinya boleh dijalankan dengan telefon pintar, tanpa bergantung kepada talian tetap dan tidak lagi perlu menyewa premis.
Transaksi tambah nilai wang judi boleh dilakukan secara perbankan dalam talian ataupun mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selain kedai tambah nilai.
Operator judi dalam talian menukarkan nombor telefon yang digunakan dari masa ke semasa untuk mengelak dikesan.
Ketagihan judi dalam talian menjadi lebih parah apabila melibatkan ah long, iaitu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.
PENJAWAT AWAM
Sumber Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan ramai penjawat awam turut terlibat dengan ah long akibat kalah judi dalam talian. Keberhutangan dengan ah long mengakibatkan banyak kes ugutan, peras ugut dan gangguan sehingga ada bunuh diri.
Di samping itu, terdapat kes cerai, keganasan rumah tangga, rasuah, kemurungan, buang kerja, pengambilan dadah dan penipuan yang bergejala.
Penglibatan penjawat awam dengan ah long khususnya mereka yang terlibat dengan agensi keselamatan negara perlu diawasi. Rahsia kerajaan boleh terlepas ke pihak yang tidak berkenaan sekiranya berlaku peras ugut oleh ah long sebagai galang ganti hutang.
Situasi tersebut memerlukan kerajaan bertindak dengan segera untuk meminda peruntukan POCA agar kegiatan judi dalam talian tidak dimanfaatkan oleh sindiket untuk melindungi diri daripada ditahan dan didakwa.
Menurut Ketua Urusetia (Perundangan) Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Abdul Rahman Atan, sindiket judi dalam talian turut mempunyai rantaian dengan sindiket judi konvensional dan ah long serta aktiviti jenayah lain seperti dadah, pelacuran dan penyeludupan manusia. PDRM memerlukan POCA untuk membenteras sindiket judi hingga ke akar umbi sekali gus dapat melumpuhkan organisasi jenayah terancang yang dibiayai oleh kegiatan jenayah tadi termasuklah judi dalam talian.
Asas yang digunakan mahkamah untuk mempertikai keabsahan mana-mana peruntukan POCA perlu diperhalusi dengan memasukkan elemen yang boleh meningkatkan tadbir urus yang baik tanpa membataskan kaedah siasatan bermatlamatkan pencegahan jenayah terancang dan ancaman kepada ketenteraman awam.
Sebagai langkah segera untuk membanteras kegiatan judi dalam talian dan ah long, PDRM disarankan melindungi peminjam daripada ancaman ah long. Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang biasa terlibat membantu mangsa ah long boleh diserapkan dalam pasukan Sukarelawan Simpanan Polis.
Sindiket ah long boleh tumpas sekiranya mereka tidak mendapat bayaran balik pinjaman malah diburu oleh PDRM akibat keganasan dan penindasan yang dilakukan. Langkah ini secara tidak langsung dapat menggalakkan aktiviti peminjaman wang yang sah mengikut undang-undang serta melumpuhkan sumber kewangan jenayah terancang dan kaki judi.
Pencegahan terhadap kegiatan judi dalam talian dan jenayah terancang yang menggunakan kecanggihan teknologi digital tidak memadai dengan kaedah penguatkuasaan melalui undang-undang biasa.
Semua pemegang taruh perlu duduk bersama untuk merawat sebarang kelemahan POCA dari aspek penggubalan dan pelaksanaannya. Di samping itu mahkamah perlu mengambil pendekatan pentafsiran secara harmoni sesuai dengan fungsinya yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Perkara 128 berhubung doktrin ultra vires lebih sesuai diberi pertimbangan berbanding dengan Perkara 121 kerana POCA digubal bagi maksud Perkara 149 dan dipantau oleh Lembaga Penasihat menurut Perkara 151. Pada masa yang sama, mekanisme semak imbang perlu diberikan oleh Parlimen untuk meninjau kemajuan siasatan dan pemantauan kes.-UTUSAN
DATUK Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengasas Jurispruden Watan.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
JUDI DALAM TALIAN MEMUDARATKAN KETENTERAMAN AWAM
https://www.utusan.com.my/rencana/2023/10/judi-dalam-talian-memudaratkan-ketenteraman-awam/
No comments:
Post a Comment