Showing posts with label HARGA RUMAH. Show all posts
Showing posts with label HARGA RUMAH. Show all posts

Friday, December 23, 2022

KL, SELANGOR CATAT HARGA RUMAH PALING MAHAL - PPIM - HARIAN METRO - 22/12/2022

 

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan harga rumah teres paling mahal di negara ini.

Manakala Melaka dan Perlis merekodkan harga rumah paling murah biarpun purata gaji pada kadar hampir RM3,000.

Harga purata rumah teres masih di bawah RM200,000 berbanding Sabah dan Pulau Pinang dengan purata gaji hampir RM3,000 namun harga rumah teres mencecah RM500,000.

Ia dikongsikan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang berkongsi mengenai perkara itu di laman Facebook rasmi.

Menerusi hantaran itu juga, PPIM turut memuatnaik maklumat berkenaan purata harga rumah teres di setiap negeri.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu mempelajari kaedah penyediaan rumah, pelan strategi perumahan di negara lebih berjaya, terutama di kawasan bandar seperti Hong Kong dan Singapura.

"Sememangnya masalah ini sudah lama dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar utama negara.

Namun tidak ada langkah yang benar-benar berkesan atau di luar kotak.

"Jika ada pun seperti program rumah rakyat, rumah mampu milik dan skim sewa beli, jumlah unit rumah masih jauh rendah bilangannya daripada permintaan pada satu-satu masa. Kerajaan negeri seperti negeri Selangor turut mengadakan program yang sama namun ia belum mencukupi.

"Mungkin kerajaan perlu mempelajari kaedah penyediaan rumah dan pelan strategi perumahan di negara lain yang lebih berjaya, terutama di kawasan bandar seperti di Hong Kong dan Singapura.

"Ia bukan saja rumah tetapi menyediakan infrastruktur yang komprehensif supaya projek itu mempunyai daya saing sendiri pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, usaha kerajaan yang kebanyakannya tertumpu pada pembinaan rumah kos rendah adalah langkah baik, namun belum mencukupi bagi membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri.

"Usaha itu hanya penyelesaian jangka pendek bertujuan mewujudkan penawaran, sedangkan ada isu lain yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan, iaitu pinjaman perumahan melalui bank.

"Rakyat tentu gembira dengan pengumuman lebih banyak rumah mampu milik bakal dibina, namun jika mereka berjaya mendapat pinjaman, kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi menyebabkan adakala kos pembiayaan (pembelian rumah) melebihi harga asal rumah.

"Sebagai contoh, rumah RM300,000 yang dibiayai dengan pinjaman bank selama 30 tahun dan kadar bunga 6.0 peratus akan menyebabkan peminjam terpaksa membayar RM1,798 sebulan dan jumlah pembayaran pinjaman keseluruhan sebanyak RM647,514, iaitu lebih sekali ganda harga rumah.

"Disebabkan itu, perlu ada pembiayaan alternatif yang tidak membabitkan pinjaman bank bagi pembelian rumah mampu milik," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

KL, SELANGOR CATAT HARGA RUMAH PALING MAHAL - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/12/918197/kl-selangor-catat-harga-rumah-paling-mahal-ppim

Wednesday, November 6, 2013

963) UTUSAN MALAYSIA 2/11/13-Rumah: Kerajaan perlu bertindak



KUALA LUMPUR 1 Nov. - Kerajaan perlu segera mewujudkan mekanisme bagi mengawal harga rumah yang melambung tinggi ekoran tindakan sindiket profesional membabitkan spekulator dan pemaju bagi mengelak rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana terus gagal memiliki rumah sendiri.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, trend harga rumah yang terlalu mahal terutama di Lembah Klang menyebabkan rakyat pertengahan yang merupakan golongan majoriti turut tidak berpeluang memiliki rumah.

Situasi itu, menurut beliau, menyebabkan negara mempunyai banyak rumah kosong yang dibina pemaju untuk memenuhi permintaan pelabur asing dan spekulator, bukannya untuk rakyat.

"Ramai dalam kalangan pelabur dan spekulator memiliki dua buah rumah atau lebih sama ada untuk disewakan atau untuk mengaut keuntungan apabila dijual semula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad berhubung kenaikan harga rumah hingga ke tahap tidak masuk akal khususnya di Lembah Klang yang dipercayai didalangi sindiket profesional.

Menurut Wan Khairil Anuar, sindiket itu membabitkan kumpulan spekulator dan syarikat perumahan sendiri yang mengaut keuntungan atas angin melalui jualan unit yang telah ditempah lebih awal kepada pembeli baharu dengan harga lebih tinggi.

Tambah Saharuddin, dasar penetapan harga itu perlu segera dikaji dan dibincangkan antara Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama pemaju bagi mencari jalan penyelesaian dalam membantu rakyat memiliki aset jangka masa panjang sendiri.

"Penetapan harga baharu itu juga perlu mengambil kira segala bebanan dan kos pembelanjaan sara hidup rakyat. Dengan nilai harga rumah sekarang, golongan yang berpendapatan RM5,000 sebulan juga tidak mampu memiliki aset sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, harga rumah yang melambung turut berpunca daripada tindakan pemaju yang mendakwa unit rumah khususnya untuk bumiputera sudah habis dijual.

Sedangkan, kata beliau, unit-unit itu disimpan untuk dijual dengan harga terbuka yang lebih tinggi meskipun sebelum itu mendapat permintaan daripada kaum bumiputera.

Menurutnya, tindakan tidak wajar itu merupakan sabotaj kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf ekonomi kaum bumiputera.

"Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan sikap rasis pemaju terhadap usaha membangunkan ekonomi orang Melayu, malah kerajaan dan rakyat turut ditipu dari segi polisi," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berharap pihak kerajaan dapat segera menyelesaikan masalah tersebut untuk memberi ruang kepada golongan muda yang sudah bekerja memiliki rumah sendiri.

Menurut beliau, golongan belia yang tinggal di kawasan bandar merupakan antara yang paling terkesan dan terhimpit dengan kenaikan harga rumah yang semakin tidak terkawal ketika ini.

"Trend kebanyakan pemaju yang bukan sahaja membina rumah tetapi bandar baharu yang menyebabkan harga rumah terus melambung. Dalam situasi ini, hanya kerajaan yang dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat antaranya seperti menurunkan harga proses guaman serta duti setem," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George pula, kawalan harga rumah di kawasan yang telah lama dibangun dilihat sukar dilaksana namun kerajaan dapat memperketatkan kawalan bagi projek-projek perumahan baharu.

"Pemaju yang mendapat bantuan dari sudut harga tanah yang murah daripada kerajaan perlu menetapkan harga pada kadar berpatutan sejajar dengan kos yang dikeluarkan dan pembeli pertama harus diberi keutamaan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131102/dn_01/Rumah:-Kerajaan-perlu-bertindak#ixzz2jn0SBTB7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, November 5, 2013

945) RAKYAT NEWS 23/10/13-SPNB Harap Bina lebih Banyak Rumah Mampu Milik



KUALA LUMPUR 23 Okt - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berharap kerajaan memberi peluang kepada SPNB membina lebih banyak rumah mampu milik berharga bawah RM250,000 untuk golongan muda dalam Bajet 2014.
  
Presiden SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, SPNB menerima banyak permintaan daripada rakyat yang memerlukan rumah mengikut kemampuan kewangan mereka.
   
"SPNB menyasarkan membina 100,000 hingga 200,000 rumah mampu milik di seluruh negara mulai tahun depan.
   
"Bagaimanapun sudah tentu fokus kita adalah membina rumah mampu milik di luar bandar yang mana kami yakin permintaan semakin meningkat," katanya kepada pemberita selepas menyertai program 'Ruang Bicara' Bernama TV semalam.
   
Program bertajuk 'Bajet 2014: Kemiskinan Bandar' itu dihoskan Dahlan Maamor dan turut disertai Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Sohaimi Shahadan serta Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Datuk Nadzim Johan.
   
Mengenai kemerosotan penawaran rumah mampu milik, Kamarul berkata berikutan kegawatan ekonomi 1998, pemaju perumahan mengambil langkah berhati-hati sehingga menyebabkan sektor itu mengalami kelembapan.
   
"Faktor migrasi penduduk, terutama golongan muda ke bandar juga menyebabkan harga rumah meningkat," katanya.
   
Beliau menambah, SPNB akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membangunkan semula pangsapuri atau rumah-rumah lama untuk dijadikan bilik berharga murah bagi golongan bujang.
   
Katanya bilik-bilik berkenaan akan dijual dalam lingkungan harga RM5,000-RM10,000 bergantung kepada kemudahan yang disediakan di tempat kediaman terbabit.

"Usaha ini dapat menangani kos hidup golongan itu yang baru memulakan kerjaya di kawasan bandar," ujarnya

Sumber: http://www.rakyatnews.my/index.php/2013102399392/ekonomi/spnb-harap-bina-lebih-banyak-rumah-mampu-milik

Wednesday, July 10, 2013

810) BERITA UTUSAN MALAYSIA 7/7/13 Pinjaman rumah: NGO minta kaji semula



KUALA LUMPUR 6 Julai - Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan tempoh pinjaman peribadi maksimum dihadkan selama 10 tahun dilihat mampu mengekang hutang isi rumah ketika ini berada pada paras 83 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Bagaimanapun, beberapa persatuan pengguna melihat langkah BNM menetapkan tempoh pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun perlu dikaji semula.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi (gambar) berkata, sebuah mekanisme lain perlu diwujudkan badan tersebut memandangkan harga hartanah di negara ini kian meningkat.

"Kita menyokong langkah BNM berhubung tempoh pinjaman peribadi ingin melihat tempoh tersebut disingkatkan lagi selain menghalang peminjam melakukan pinjaman kedua ketika pinjaman pertama belum dilangsaikan.

"Tetapi tempoh pembelian rumah perlu dikaji kerana tempoh 45 tahun sebelum ini sudah relevan berbanding 35 tahun, ramai daripada pembeli terdiri daripada golongan pertengahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz semalam berkata, selain memendekkan had tempoh pinjaman peribadi dan pembelian aset, larangan turut dikenakan bagi menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.

Sebelum ini, had tempoh pinjaman peribadi ialah 25 tahun manakala pinjaman pembelian rumah ialah 45 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, BNM perlu melihat realiti bahawa sebahagian besar rakyat memerlukan masa untuk melangsaikan bayaran mereka.

Jelasnya, melalui tempoh pinjaman yang panjang, barulah orang ramai dapat mengimbangi kemampuan mereka terutama dalam mendepani kos hidup yang tinggi pada masa ini.

"Sekiranya BNM melihat langkah ini sebagai satu pendekatan proaktif, kita menyokongnya tetapi sekira ia memberi langkah kepada orang ramai, ada baiknya penetapan ini dikaji semula," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130707/wk_01/Pinjaman-rumah:-NGO-minta-kaji-semula#ixzz2Yd793yOX © Utusan Melayu (M) Bhd

809) BERITA UTUSAN MALAYSIA 6/7/13-NGO sokong hapus bayaran muka



KUALA LUMPUR 5 Julai - Persatuan-persatuan pengguna menyokong cadangan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim agar kerajaan menghapuskan bayaran muka pembelian rumah khususnya untuk golongan muda mudah memiliki aset. 
Menurut mereka, langkah itu merupakan penyelesaian terbaik dalam membantu golongan muda memiliki rumah sendiri terutama yang tinggal di ibu kota.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, cadangan itu wajar kerana harga rumah kini terlalu mahal dan bayaran wang muka sebanyak 10 peratus turut menyukarkan mereka membeli rumah berkenaan.

“Lebih membimbangkan masih ada yang belum mampu memiliki rumah sendiri walaupun sudah bekerja selama 10 tahun,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Irmohizam ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan supaya bayaran muka pembelian rumah dilupuskan bagi mengurangkan beban orang ramai khususnya golongan muda untuk memiliki sebuah rumah sendiri memandangkan harganya yang semakin mahal.

Cadangan itu dibuat ekoran kebimbangan beliau mengenai nasib generasi muda termasuk golongan berijazah untuk memiliki sebuah rumah sendiri.

Tambahnya, adalah baik jika Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dapat mencari jalan supaya pihak bank dapat bekerjasama dalam menjayakan hasrat tersebut.

Berkenaan harga rumah yang semakin mahal, Saharuddin meminta kerajaan mengkaji semula harga skim rumah pertamaku yang nyata terlalu tinggi bagi rumah sederhana seperti itu.

“Saya cadangkan mereka menyemak kembali harga rumah tersebut kerana tujuan utama skim itu bagi membantu golongan muda memiliki rumah pada harga berpatutan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, langkah mewujudkan mekanisme tersebut sangat dialu-alukan oleh pihaknya.

“Sejak sekian lama saya telah mencadangkan kepada kerajaan untuk melupuskan bayaran pendahuluan pembelian rumah dan akhirnya diketengahkan di Parlimen dan kita berharap pelan itu dapat dilaksanakan,’’katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George bimbang dengan pelbagai kelonggaran diberikan kepada golongan muda dalam membeli rumah.

Jelas beliau, jika terlalu banyak memberi kelonggaran dari segi penstrukturan semula pinjaman rumah, menyebabkan lebih ramai golongan muda akan membeli sesuatu seperti rumah dan kereta tanpa berfikir panjang.
  
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130706/dn_11/NGO-sokong-hapus-bayaran-muka#ixzz2Yd5EOzSC © Utusan Melayu (M) Bhd

805) BERITA UTUSAN MALAYSIA 4/7/13:Wujudkan mekanisme kawal harga rumah




KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan perlu segera mewujudkan mekanisme khusus bagi mengawal harga rumah di pasaran ketika ini yang melambung tinggi sehingga menyebabkan rakyat terutamanya yang berpendapat rendah dan sederhana gagal memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, mekanisme itu harus mengambil kira semua aspek supaya tidak terus membebankan rakyat serta merugikan pemaju perumahan.

“Kita tidak boleh salahkan pemaju kerana dalam isu meletakkan harga rumah di pasaran, mereka mengambil kira segala kos dan faktor seperti tanah, lokasi dan permintaan yang semakin meningkat.

“Jadi saya harap kerajaan dapat wujudkan satu mekanisme bagi mengawal harga rumah ini kepada tahap yang munasabah kerana semua pihak berhak untuk memiliki rumah sendiri," katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebanyak 1.9 juta isi rumah di negara ini masih belum memiliki rumah sendiri berikutan harga yang terlampau tinggi.

Menurutnya, daripada 6.3 juta jumlah isi rumah di seluruh negara, sebanyak 4.4 juta keluarga telah memiliki rumah sendiri, 1.6 juta masih menyewa serta baki 300,000 mendiami rumah setinggan dan menumpang rumah pusaka.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Perak, Shamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, harga bahan mentah dan tanah yang semakin meningkat menjadi punca utama mengapa harga rumah semakin mahal.

Katanya, bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan, kerajaan wajar bekerjasama dengan pemaju perumahan dalam membina lebih banyak rumah pada harga yang berpatutan.

“Usahasama kerajaan dan swasta dilihat mampu mengatasi masalah yang berlaku kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kerajaan boleh mengeluarkan subsidi dan pemaju pula menggunakan kepakaran serta modal untuk hasilkan rumah yang sepadan dengan purata gaji rakyat Malaysia," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130704/dn_20/Wujudkan-mekanisme-kawal-harga-rumah#ixzz2YcJhCbSK

© Utusan Melayu (M) Bhd

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL