SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan melaksanakan penanaman sendiri bagi menangani kos sara hidup termasuk ketika tengkujuh.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, usaha itu bagi mengelak kebergantungan import bekalan makanan sekali gus harga dapat dikawal malah lebih murah.
"Sekarang trend harga barangan keperluan meningkat. Macam harga tembikai, saya terkejut beli tiga biji cecah RM100 lebih, kekacang seperti kacang tanah pun naik.
"Kerajaan perlu buat sesuatu seperti laksana tanam sendiri (sayur-sayuran, buah-buahan). PPIM sendiri mengusahakan tanaman cendawan. Kita puas makan dan dalam masa sama mengurangkan import makanan. Jadi harga dapat dikawal dan lebih murah," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Nadzim, harga barang keperluan asas secara umum dilihat meningkat terutama dalam keadaan negara sedang berdepan dengan bencana banjir.
"Justeru, isu kos sara hidup perlu menjadi keutamaan kerajaan," ujar beliau.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Datuk Dr N Marimuthu pula berkata, meskipun harga barangan keperluan asas disifatkan mahal, namun kerajaan mesti memastikan bekalan barangan berkenaan di pasaran mencukupi."Harga di pasaran terlalu mahal bukan sahaja telur dan ayam, malah ikan dan sayur-sayuran. Kerajaan harus memastikan barang keperluan asas mencukupi kerana jika tidak akan berlaku pembelian panik.
"Kita tak nak perkara ini berlaku kerana kesannya akan menyebabkan pengguna merana," ujarnya.
Sementara itu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mahu kerajaan memberi fokus terhadap kegiatan ekonomi utama di kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Setiausahanya, Rauzan Esa berkata, antaranya adalah dengan menaik taraf infrastruktur penting yang menggerakkan rantaian sektor ekonomi tertentu.
“Infrastruktur yang baik seperti jaringan internet dan bekalan elektrik yang luas serta jalan pertanian yang baik berupaya merancakkan lagi aktiviti ekonomi luar bandar.
“Dengan adanya jalan yang baik, hasil pertanian dapat dikeluarkan secara optimum dan lebih banyak aktiviti pertanian baharu boleh dibuka.
“Ketika ini masih banyak tanah tidak dapat diusahakan kerana jalan teruk atau tiada bekalan elektrik,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
SELESAI ISU HARGA NAIK KETIKA MUSIM TENGKUJUH
No comments:
Post a Comment