Friday, December 30, 2022

ISU PERJANJIAN CPTPP KE MESYUARAT KABINET - MAT SABU - MALAYSIA GAZETTE - 29/12/2022

 

PUTRAJAYA – Enam tuntutan yang dikemukakan 54 badan bukan kerajaan (NGO), termasuk parti politik berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memaklumkan demikian setelah mengadakan pertemuan dengan mereka.

“Komitmen Menteri dia akan berhubung lebih lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tapi keputusan ini adalah daripada Perdana Menteri dan Kabinet bukan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Jadi Perdana Menteri perlu respon terhadap isu ini. Dia (Mohamad) akan bawa ke kabinet,” katanya setelah mengadakan pertemuan hampir satu jam dengan Mohamad, di sini, hari ini.

Mohamad sebelum itu menerima memorandum FKMM yang disokong 54 organisasi antara lain daripada organisasi petani, penternak dan nelayan serta organisasi pengguna, alam sekitar dan ekonomi serta keusahawanan itu.

Turut serta adalah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) menjelaskan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP, sekaligus menyaksikan Malaysia menjadi negara ke-9 meratifikasikan perjanjian itu, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Selaras dengan itu, kerajaan menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), NurFitri Amir Muhammad bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum berkenaan Comprehensive and Progressive Agreement for Transpacific Partnership (CPTPP) di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2022.

Dalam pada itu, Nurfitri Amir berkata, tujuan memorandum tersebut dihantar adalah bagi mendapatkan penjelasan sama ada kementerian telah melaksanakan penilaian dan kajian terperinci mengenai ratifikasi CPTPP.

Beliau mendakwa, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan MITI tidak langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan, usahawan sektor pertanian serta pengguna, malah tiada penilaian kesan kepada keterjaminan makanan negara.

“Antara tuntutan kami adalah negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991. Konvensyen ini bertujuan untuk memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi.

“Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri,” katanya.

Dakwanya lagi, menerusi CPTPP, subsidi untuk nelayan boleh di sekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang di kategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap.

“Kami mohon agar kerisauan kami dibawa ke mesyuarat Kabinet supaya penyertaan Malaysia ke dalam perjanjian CPTPP ini dapat dikaji semula demi kemaslahatan petani, nelayan dan penternak serta keterjaminan makanan negara,” katanya.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

ISU PERJANJIAN CPTPP KE MESYUARAT KABINET - MAT SABU

https://malaysiagazette.com/2022/12/29/isu-perjanjian-cptpp-ke-mesyuarat-kabinet-mat-sabu/


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL