KUALA LUMPUR: Menggabungkan atau menerima Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dengan sistem pendidikan negara boleh membawa kebaikan kepada negara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata tidak ada masalah untuk kerajaan mempertimbangkan untuk menerima sebahagian sistem UEC seperti pendidikan bahasa, matematik dan sains.
"Kita mahu cari persamaan bukan perbezaan. Apa salahnya jika anak-anak Malaysia semua belajar bahasa Mandarin?" katanya kepada BH, hari ini.
Nadzim berkata, jika diikutkan, beliau mahu mewajibkan semua pelajar di negara ini mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil, selain menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
"Ia bahasa tambahan, apa salahnya, ambil bahasa Arab sekali pun tak apa. Itu ilmu untuk anak kita tak jadi masalah. Jangan kita nak pecahkan lagi negara ini, cari persamaan, dan persamaan antara UEC dan SPM adalah pendidikan," katanya.
Nadzim memberi contoh International General Certificate of Secondary Education (IGSCE) yang diiktiraf seluruh dunia, yang mana di Malaysia terdapat beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menawarkan program berkenaan.
"Kita perlu akur, sistem pendidikan kita lemah. Jadi jika bergabung dengan sistem lain, ia boleh membawa kebaikan kepada semua. Jangan pula sudah gabung dengan UEC, kita lupa asal usul pula. Itu bukan asas pendidikan, pendidikan untuk belajar menjadi lebih baik lebih pandai bukan semakin mundur," katanya.
Nadzim turut mengingatkan agar rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu agar tidak takut untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
"Bukan bermaksud menerima sijil UEC itu bermakna kita akan menjadi kaum yang lupa diri. Kita boleh menggunakan sistem pendidikan itu untuk memperkukuhkan kaum kita, malah membawa perubahan yang positif ke arah bangsa yang lebih maju.
"Yang baik kita ambil, yang buruk kita tinggalkan, janganlah pula nanti membuta ambil semua sehingga lupa agama sendiri, bukan itu maksud saya. Kita perlu menambah ilmu agar menjadi bangsa yang maju, bukan menyisih dan memecahbelahkan," katanya.
Sebelum ini, Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.
Dong Zong dalam kenyataannya menyebut, mereka memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.
Dong Zong turut menjelaskan kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara ini.
"UEC adalah satu pentaksiran akademik, serupa dengan pentaksiran STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) IB, A-Level dan sebagainya. Sebelum ini PPIM menegur ahli politik DAP agar tidak menggunakan isu UEC untuk memecahbelahkan rakyat.
PPIM bertegas agar pemimpin DAP tidak bersikap biadab sehingga mencetuskan ketidakharmonian masyarakat di negara ini berhubung isu sijil peperiksaan UEC.
Nadzim turut menempelak sikap pemimpin DAP yang cuba mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengiktiraf UEC sedangkan kerajaan baru ditubuhkan beberapa hari lalu.
Beliau yang mengakui pernah mengikuti pengajian di sekolah jenis kebangsaan Cina berasa hairan apa yang sebenarnya membuatkan pemimpin parti itu begitu mendesak mengubah sistem pendidikan negara yang juga tertakluk sebahagian Perlembagaan.
"Saya tidak tahu DAP nak apa sebenarnya. Saya sekolah Cina, jadi saya faham cerita ini. Kalau kita di China, sudah tentu kita pun belajar bahasa Cina tetapi prinsipnya tidak betul, kita belajar tetapi asasnya bukan paksaan.
"Kita belajar 10 bahasa pun boleh faham, jadi kenapa nak gunakan isu ini (UEC) nak memporakperandakan hubungan," katanya.
Beliau juga memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya tidak menimbulkan kebimbangan awam, 'berperang' dengan kaum lain khususnya orang Melayu yang cukup dikenali dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya.
Justeru, beliau mahu semua pihak bersikap saling menghormati sebagai satu keluarga dalam negara, dan sanggup berkorban demi tanah air.
"Jadi, saya harap difikir (DAP) semula kerana kita semua ada had kesabaran.
"Kita seharusnya jadi satu keluarga, hormat menghormati, saling memahami, bertolak ansur. Kita patut ada hala tuju yang jelas," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
TIDAK ADA MASALAH UNTUK GABUNGKAN SISTEM UEC DENGAN SISTEM SEDIA ADA - PPIM
No comments:
Post a Comment