Thursday, December 29, 2022

MAJIKAN HARUS HENTI BERI ALASAN TAK BERSEDIA LAKSANA GAJI MINIMUM - MTUC - BERITA HARIAN - 28/12/2022

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menguatkuasakan gaji minimum secara menyeluruh kerana majikan sering menggunakan alasan tidak bersedia untuk melaksanakan perkara itu.

Menurut MTUC, sejak 2013 majikan memberi alasan yang sama iaitu mereka tidak bersedia untuk membayar gaji minimum kepada pekerja.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata dengan penangguhan yang diumumkan kerajaan, semalam, ia akan terus membunuh industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

"Kami di MTUC amat terkejut dengan langkah diambil oleh kerajaan berkenaan gaji minimum.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani.
Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani.

"PMKS adalah industri yang sukar mendapatkan pekerja, dengan tidak melaksanakan gaji minimum, pekerja tidak mahu bekerja dengan PMKS dan industri ini akan alami kerugian besar," katanya.

Mohd Effendy berkata, kebanyakan pekerja di PMKS adalah golongan B40 dan kerajaan seharusnya membantu membela nasib mereka.

"Sebelum ini, pelaksanaan gaji minimum sepatutnya dilaksanakan pada 1 Mei, namun ditangguhkan sehingga 1 Januari. Kini, kerajaan mengumumkan ia ditangguhkan lagi, ini tidak mendatangkan kebaikan kepada pekerja atau pemain industri," katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata kerajaan memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.

Beliau berkata, majikan dalam kategori berkenaan diberikan penangguhan selama enam bulan terhadap penguatkuasaan gaji minimum itu berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

MTUC berpendapat, jika gaji minimum dilaksanakan, PMKS akan meningkatkan produktiviti mereka bagi membolehkan mereka membuat bayaran gaji pekerja seterusnya akan meningkatkan lagi industri itu.

"Inilah masanya kerajaan melihat mana-mana PMKS yang mengalami masalah kewangan atau aliran tunai, masa itulah mereka diberi bantuan oleh kerajaan, bukan sekat gaji minimum pekerja.

"Sejak 2013 majikan sering memberi alasan sama, tidak bersedia. Sampai bila ? Adakah kini majikan gulung tikar kerana gaji minimum dinaikkan beberapa kali? Jawapannya tidak, kerana terdapat pelbagai bantuan kerajaan untuk usahawan," katanya.

Mohd Effendy berkata, kajian menunjukkan produktiviti negara meningkat untuk menjana pendapatan pada suku kedua dan ketiga 2022 iaitu selepas musim COVID-19.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan menjalankan kajian sepenuhnya sebelum melaksanakan apa sahaja dasar baharu, termasuk gaji minimum.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata mengambil contoh pelaksanaan gaji minimum, jika gaji lebih baik ditawarkan di syarikat besar, pekerja tidak lagi mahu bekerja dengan PMKS.

"Industri itu mungkin akan terjejas. Tetapi keputusan kerajaan sudah ada, jika ditarik balik kesannya adalah kepada pemain industri dan jika ditarik balik, rakyat akan pandang serong kepada kerajaan, adakah kerajaan tidak berpendirian," katanya.

Nadzim berkata, jika kerajaan berpendapat majikan tidak mampu melaksanakan gaji minimum, kerajaan harus bersedia menyediakan satu mekanisma lain untuk menampung perbezaan RM300 itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

"Mungkin kerajaan boleh beri kupon atau program subsidi bersasar untuk cukupkan beza RM300 itu. Impaknya amat besar kalau dikupas satu per satu. Kerajaan harus buat kajian menyeluruh jangan beri ruang untuk orang ramai mengkritik kerajaan," katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

MAJIKAN HARUS HENTI BERI ALASAN TAK BERSEDIA LAKSANA GAJI MINIMUM - MTUC 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1045044/majikan-harus-henti-beri-alasan-tak-bersedia-laksana-gaji-minimum

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL