PUTRAJAYA: Selepas beberapa kali Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengetengahkan isu dan permasalahan ramai membabitkan vaksin COVID-19, ada sinar penyelesaian antara pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Pada Selasa, pihak Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) mengadakan pertemuan bersama Ketua PPIM, Datuk Nadzim Johan yang berlangsung di Pejabat Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Pertemuan yang berlangsung selama dua jam dalam suasana harmoni dan muhibah itu turut disertai Menteri Khairy Jamaluddin yang mahu mendengar sendiri permasalahan dan isu berkaitan pembelian vaksin COVID-19.
Jelas Amzad, pihak MOSTI sentiasa mendengar keluhan orang ramai dan bersedia mencari penyelesaian terbaik dalam isu vaksin COVID-19 apatah lagi membabitkan pengguna Islam.
"Saya kira kerajaan bersedia termasuk MOSTI sendiri mendengar keluhan rakyat berkenaan isu ini.
"PPIM adalah badan atau institusi NGO yang menjadi pusat aduan, justeru kita sentiasa terbuka untuk mereka dan menjalinkan kerjasama bagi menyelami permasalahan ummah.
"Pertemuan hari ini menghasilkan (perkongsian) beberapa informasi dari kedua-dua pihak dan semoga ia akan memberi manfaat yang baik kepada kerajaan dan rakyat," katanya ketika pertemuan tersebut.
Bagi PPIM pertemuan hari ini sangat positif dan cara terbaik yang ditunjukkan oleh pihak MOSTI dalam memastikan ketelusan kerajaan agar lebih mudah maklumat itu sampai kepada masyarakat.
"Alhamdulillah, kita tak ada apa dan cuma membawa suara pengguna Islam di negara ini dan kita ingin mendengar sendiri maklumat yang betul.
"Usaha pertemuan ini adalah tindakan terpuji MOSTI dalam menjamin ketelusan.
"Ia kerana persoalan yang tidak dijawab akan mengeruhkan keadaan di bawah atas keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam," jelas Nadzim ketika pertemuan tersebut.
Sebelum ini pelbagai keresahan membabitkan isu pembelian vaksin COVID-19 timbul berkenaan bahan yang digunakan dalam vaksin berkenaan selain isu jaminan keselamatan penggunaannya.
Ia menimbulkan polemik beberapa pihak terutamanya PPIM yang menjadi pusat aduan pengguna Islam.
Artikel oleh: Astro Awani
MOSTI-PPIM ERATKAN KERJASAMA SALUR MAKLUMAT BETUL ISU VAKSIN COVID-19
No comments:
Post a Comment