Friday, February 19, 2021

5420) RAKYAT PEMURAH, MISI BANTU ASNAF DAPAT DILAKSANA - HARAKAH DAILY - 14/02/2021

 


PASIR PUTEH: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kelab Gempur Rimba Extrem (KGRX) tampil membantu penduduk Selising yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan musibah banjir baru-baru ini.

Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, misi bantuan kemanusian mendapat kerjasama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selising menyantuni 400 penduduk di beberapa kampung termasuk menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan Covid-19.

Menurutnya, sumbangan bakul makan, peralatan elektrik, kasut sekolah, telekung dan al-Quran dengan peruntukan RM50,000 diharap mampu meringankan beban penduduk.


“Penaja utama seperti Insyirah Group, Gerbang Sumbangan Sdn Bhd, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Gombak, Persatuan Usahawan Wanita Dan Keusahawan Agro (WEAGRO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Icon Production Sdn Bhd & SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd menjayakan program amal ini.

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan akibat banjir baru-baru ini. Keadaan ini lebih membebankan kerana kita juga sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui majlis pelepasan penyampaian bantuan dari rumah ke rumah penduduk yang disempurnakan Adun Selising, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini hari ini.

Menurutnya, PPIM bersama-sama beberapa organisasi, penaja dan penyumbang sedaya upaya berganding bahu mendapatkan kebenaran merentas negeri dalam usaha menyantuni mereka yang memerlukan sumbangan bantuan terutama golongan asnaf.

“Ujian ini sebenarnya untuk kita bersama-sama menghadapinya. Fokus utama adalah memberikan bantuan pasca banjir agar mangsa dapat kembali kepada kehidupan asal.

“Rakyat di negara ini bersikap pemurah dan gemar menderma sehingga kerja amal misi bantuan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan dapat dilaksanakan,” ujarnya.


Artikel oleh: Harakah Daily

RAKYAT PEMURAH, MISI BANTU ASNAF DAPAT DILAKSANA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL