Friday, August 28, 2020

5874) PEMANDU MABUK: TAMBAH TEMPOH PENJARA, DENDA BUKAN PENYELESAIAN - BERITA HARIAN - 27/08/2020

 

KUALA LUMPUR: Meningkatkan tempoh penjara dan kadar denda terhadap hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukan jalan penyelesaian terbaik bagi membendung perkara itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun ia satu perkara yang baik namun ia tidak akan dapat menangani isu berkenaan secara berkesan.

"Apa yang lebih baik adalah meningkatkan penguatkuasaan bukan sahaja terhadap penjualan arak yang dilihat semakin berleluasa, malah terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Kesalahan ini adalah amat berat kerana ia mengakibatkan pihak lain mengalami kecederaan dan kematian, justeru kita lihat penguatkuasaan secara serius memainkan peranan yang amat penting termasuk mengawal penjualan minuman keras," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menurutnya, pendidikan mengenai keburukan minuman keras serta bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol juga perlu diterapkan di peringkat sekolah sebagai satu cara untuk mendidik generasi muda.

Beliau berkata meningkatkan tempoh hukuman penjara dan kadar denda bukan cara terbaik kerana hukuman itu tidak memadai dengan nyawa mangsa yang terkorban atau kecacatan yang dialami mangsa, manakala denda juga boleh dibayar oleh pesalah yang mampu.

"Kita juga minta jabatan agama Islam di setiap negeri memainkan peranan dengan meningkatkan kadar denda terhadap orang Islam yang meminum arak.

"Selain itu, peminum arak ini perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan diri serta orang lain, mereka tidak sewajarnya dibenarkan memandu. Perkara ini banyak diterapkan di negara maju dan ia sewajarnya diamalkan di negara ini." kata beliau.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain bakal meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun; denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun; denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 1 Jun lalu, Zahlawati Zahlan, 47, menyambut baik pindaan hukuman berkenaan.

"Saya berharap hukuman yang lebih berat itu dapat mencegah orang ramai daripada memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Ia adalah lebih baik daripada hukuman mati namun sewajarnya pesalah turut dikenakan hukuman sebatan sebagai pengajaran," katanya kepada BH.

Katanya, kesan dan trauma yang dialami keluarga mangsa tidak dapat dinilaikan dengan hukuman berkenaan kerana mereka yang terpaksa menanggung segala kesannya.

"Ada keluarga yang hilang tempat bergantung, ada juga mangsa yang mengalami kecacatan angkara pemandu mabuk.

"Hukuman penjara dan denda yang dikenakan kepada pesalah boleh dilunaskan, namun kesan yang dialami mangsa dan keluarga adalah berkekalan," katanya lagi.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, Mohamed Zaili disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah belakang.


Artikel oleh: Berita Harian

PEMANDU MABUK: TAMBAH TEMPOH PENJARA, DENDA BUKAN PENYELESAIAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/725205/pemandu-mabuk-tambah-tempoh-penjara-denda-bukan-penyelesaian

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL