Monday, August 17, 2020

5839) SINDIKET JUDI JANA RM30 JUTA SEHARI - ISMAWEB - 15/08/2020

 


BANGI, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Sindiket perjudian di negara ini didakwa memperoleh pendapatan mencecah RM30 juta sehari berbanding RM16 juta pada 10 tahun dahulu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Othman mendakwa, dengan sumber kewangan yang begitu besar, tidak mustahil akan digunakan oleh sindiket berkenaan untuk membeli pengaruh serta ‘petugas’ bagi menuruti apa yang mereka mahukan.
 
“Kita perlu lihat isu ini sebagai keadaan yang membahayakan rakyat Malaysia. Perkara ini nampak mudah tetapi sebenarnya amat serius yang kita lihat banyak memberi kesan sosial.

“Keperluan masyarakat itu tidak diisi disebabkan masalah judi. Justeru, kita kena lihat isu ini secara serius.

“Pemerintah juga kena ambil tindakan yang tegas untuk mengatasi masalah yang kita hadapi hari ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, Nadzim tidak menolak kemungkinan sindiket perjudian menyasarkan kawasan majoriti penduduk Melayu kerana sikap mereka yang mudah terpengaruh.

Bagi membendung masalah yang ‘berjangkit’ ini, beliau menggesa semua pihak bersama-sama menyertai gerakan membebaskan diri dari judi.

“Kita perlu ada tentera rakyat untuk mengatasi masalah ini.

“Maknanya, secara bersungguh-sungguh kita semua mengambil tindakan membuat laporan,” katanya sambil menyarankan Pejabat Ketua Polis Negara (IGP) menyediakan talian hotline bagi menerima aduan mengenai kegiatan judi.

Sebelum ini, Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Selain itu dia turut mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis disyaki menerima suapan daripada sindiket yang menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Selain itu, semalam polis menumpaskan sindiket judi dalam talian yang dipercayai turut menjalankan kegiatan Macau Scam di empat unit kondominium mewah di Soho Suite@KLCC.

Sindiket dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian, perniagaan mata wang asing serta Macau Scam dengan menjadikan warga China, Taiwan dan Hong Kong sebagai sasaran.


Artikel oleh: Ismaweb

SINDIKET JUDI JANA RM30 JUTA SEHARI

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL