Monday, August 10, 2020

5785) SPRM SIASAT DAKWAAN PIHAK BERKUASA LINDUNGI JUDI HARAM - SUARA.TV - 10/08/2020


Cyberjaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba lindungi premis perjudian haram di sekitar Sungai Buloh, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya memandang serius isu yang ditularkan dalam dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak-pihak terbabit.

Ahmad Khusairi berkata, beliau sendiri sudah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya pagi ini untuk mendapatkan maklum balas berhubung kes terbabit.

Beliau berkata, Zamri memaklumkan, JIPS akan mengambil tindakan tegas ke atas premis-premis perjudian termasuk mana-mana pegawai yang melindungi aktiviti-aktiviti perjudian tersebut kerana kesalahan ini dibawah bidang kuasa PDRM.

Pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42 pada Sabtu memuatnaik tiga siaran langsung di Facebook mengenai kewujudan beberapa premis judi di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh.

Melalui siaran tersebut, Mohd Asri atau lebih dikenali dengan Asri Janggut turut mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya akan memanggil Mohd Asri bagi membantu siasatan kerana mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan memberikan bantuan dari segi kaunseling serta perlindungan kepada Mohd Asri yang terdedah dengan ancaman daripada pihak tertentu.

“Apabila perkara sebegini didedahkan, pastinya ada ancaman kepada individu yang mendedahkan terutamanya membabitkan kegiatan jenayah seperti pusat judi.

“Ini bukannya masa untuk kita menuding jari kepada mana-mana pihak, namun kami berharap pihak berkuasa akan bertindak segera membuat siasatan supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan,” katanya.

Artikel oleh: Suara.TV

SPRM SIASAT DAKWAAN PIHAK BERKUASA LINDUNGI JUDI HARAM

https://suara.tv/10/08/2020/sprm-siasat-dakwaan-pihak-berkuasa-lindungi-judi-haram/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL