Wednesday, August 12, 2020

5806) SINDIKET JUDI MILIKI 'KABEL' LUAR BIASA - SINAR HARIAN - 12/08/2020


SHAH ALAM - Faktor pengaruh atau 'kabel' dimiliki sindiket perjudian menjadikan mereka kebal dan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Othman berkata, perkara itu ketara apabila dalam kebanyakan operasi bersepadu yang disertai pihaknya bersama agensi-agensi penguat kuasa sebelum ini mendapati serbuan sering tidak berjaya.

"Contoh dalam Ops Bah yang kadang-kadang melibatkan 400 agensi terdiri daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), Kastam, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan ramai lagi, apabila kita pergi serbu premis-premis judi ni, semua dah kosong.

"Banyak terjadi begini, bila pergi tak ada apa seolah-olah mereka ni ada kabel besar yang melindungi, ini kuasa mereka," katanya pada Wacana Sinar ke-186 bertajuk Isu judi: Fitnah atau Realiti? yang disiarkan secara langsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

Selain Nadzim, turut menjadi panelis pada program itu ialah pengaanalisi jenayah, Kamal Affandi Hashim dan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid serta Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Nadzim berkata, ada sesetengah kes, barangan di premis judi disita dan ditarik tetapi selepas beberapa jam ia kembali beroperasi dengan membawa peralatan mesin judi baharu.

"Keadaan itu amat merunsingkan, pengaruh dan 'kabel' mereka dilihat cukup luar biasa.

"Saya dapat laporan sebelum ini pemegang mesin judi ini juga memperoleh pendapatan mencecah RM16 juta sehari dan kini meningkat kepada RM32 juta sehari," katanya.

Selain itu, Nadzim berkata, beliau melihat duit turut menjadi faktor aktiviti perjudian sukar dibanteras.

"Golongan ni bijak guna pengaruh duit dan penguat kuasa kita pula manusia biasa serta mudah terdedah.

"Saya ada berjumpa seorang ketua polis daerah dan beliau kongsi pengalaman, ada pemilik premis judi ni datang dan tawarkan dia RM20,000 ke RM30,000 sebagai suapan tapi dia menolak.

"Melihat kepada situasi itu juga, kita lihat penguat kuasa atau pihak berkuasa ini terdedah dan diuji dengan tawaran demikian tapi masih ada yang baik dan menolak rasuah," katanya.

Namun katanya, beliau berharap ketegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menangani isu judi pada kali ini akan membawa perubahan.

"Sekarang adalah waktu yang tepat untuk melakukannya," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

SINDIKET JUDI MILIKI 'KABEL' LUAR BIASA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL