Pemilik gerai burger yang mendedahkan kewujudan kegiatan perjudian di Sungai Buloh, meminta orang ramai untuk berhenti mengecam polis.
Mohd Asri Hamid atau turut dikenali sebagai Asri Janggut berkata pihak polis mendapat banyak kritikan susulan penularan klip video yang menunjukkan tempat perjudian dan gerai haram yang dikongsi di Facebook.
"Saya tengok banyak kecam polis. Tolong berhenti. Mereka (polis) ini harapan kita. Judi dan rasuah ni ketagih. Jangan kecam-kecam, kita sama-sama bantu polis," katanya dalam siaran di Facebook Live hari ini.
Sebelum ini, Mohd Asri mendakwa dia telah membuat laporan kegiatan perjudian itu dengan pihak polis.
Ketua Polis Sungai Buloh Shafa'aton Abu Bakar sebelum ini berkata klip video yang dikongsi oleh Mohd Asri boleh dianggap memfitnah dan merosakkan imej polis.
Shafa'aton mengatakan bahawa ketua balai polis Sungai Buloh dan Majlis Bandara Shah Alam telah membuat laporan polis terhadap Mohd Asri.
Dia menambah bahawa polis sebenarnya telah menyerbu enam premis perjudian di daerah itu.
Pagi ini, Pengarah Jabatan Pematuhan Integriti dan Standard Bukit Aman (JIPS) Zamri Yahya memberitahu Malaysiakini bahawa polis sedang menyiasat kemungkinan penglibatan pegawai polis Sungai Buloh dalam melindungi tempat perjudian di kawasan itu.
Sementara itu, Mohd Asri berkata pekerja gerainya dihampiri individu tertentu yang bertanya sama ada mereka membuat aduan berhubung kegiatan itu.
"Salah seorang pekerja premis datang tanya pekerja saya, 'kenapa kacau dia bisnes?'
"Tahu apa jadi? Diorang buka lagi dua kedai. Salah satu dekat dengan gerai burger saya. Seoralah-olah mencabar," katanya.
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan mengatakan, berdasarkan pengalamannya setelah melakukan operasi serbuan terhadap premis seumpamanya, dua situasi biasanya akan berlaku.
"Bila penguatkuasa datang dah tak ada orang. Kosong.
"Jadi macam mana boleh kosong? Maknanya berita (tentang serbuan) ini telah sampai kepada sasaran (sebelum serbuan dibuat).
"Ataupun, pergi dapat apa yang dapat, dalam dua jam, dah berisi balik dengan alat-alat judi yang baru," katanya.
Nadzim bagaimanapun mengakui komitmen Ketua Polis Negara Abdul Hamid bador dalam membanteras operasi perjudian haram.
"Tetapi kita harus memahami, dia tidak dapat melakukan tugas itu sendiri. (Kegiatan judi) sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat," katanya.
Dua hari yang lalu, Abdul Hamid mengulangi pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian haram.
"Berjudi merosakkan masyarakat kerana akan membawa kepada kejahatan lain.
"Polis akan menyiasat dakwaan individu tersebut (Mohd Asri) mengenai kegiatan perjudian di daerah itu," katanya seperti dilapor media.
Artikel oleh: Malaysia Kini
PUSAT JUDI SG BULOH: PEMILIK GERAI BURGER GESA JANGAN KECAM POLIS
No comments:
Post a Comment