PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa tindakan bersepadu oleh kerajaan dan syarikat e-hailing bagi memastikan semua pekerja sektor itu mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kesedaran melakukan caruman Perkeso dalam kalangan pekerja e-hailing ketika ini masih rendah meskipun beberapa kes kemalangan yang dilaporkan menyaksikan kesan kepada mangsa dan waris.
Oleh itu, pihaknya mencadangkan beberapa langkah untuk dipertimbangkan dalam usaha itu bagi memberi pembelaan sewajarnya jika berlaku kemalangan dalam kalangan pekerja e-hailing.
"Saya difahamkan ketika ini kira-kira 150,000 pemandu e-hailing berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan tidak termasuk sekitar 300,000 hingga 400,000 lagi yang terbabit dalam e-hailing motosikal.
"Jika wujud satu kaedah yang lebih mudah untuk memastikan kesemua yang mendaftar sebagai pekerja e-hailing mencarum dengan Perkeso, saya fikir ini dapat membawa banyak manfaat kepada pekerja itu sendiri," katanya.
Jelas Nadzim, beberapa perkara dilihat boleh dipertimbangkan misalnya dengan mengenakan prasyarat mencarum dengan Perkeso sewaktu proses pendaftaran sebagai pemandu atau penunggang e-hailing dilakukan.
"Syarikat (e-hailing) itu sendiri menjadi pemudah cara proses dan mungkin boleh menyumbang sesuatu misalnya membantu sebahagian jumlah caruman yang pasti lebih menarik pemandu dan penunggang untuk tampil mendapatkan perlindungan (mencarum)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan dan dialog bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk wakil pemandu dan penunggang e-hailing serta pihak Perkeso di Restoran Ali Cafe, Jalan Pantai Baharu di sini, hari ini.
Sesi dialog itu antaranya turut menyentuh isu kemalangan membabitkan pemandu bawah pengaruh alkohol yang meragut nyawa seorang penunggang e-hailing, baru-baru ini.
Nadzim berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius apa lagi perundangan negara ketika ini tidak begitu membela nasib mangsa dan keluarga.
"Kita mencadangkan supaya adanya ganti rugi dalam perundangan yang dipinda nanti. Ya, mungkin ada akta lain yang membolehkan mangsa atau waris mendakwa tetapi jika tiada keupayaan kewangan untuk upah peguam dan sebagainya, tidak guna juga.
"Mungkin pemandu mabuk itu akan dipenjarakan namun kita rakyat juga yang bayar kos penyelenggaraan di penjara, ia tidak menguntungkan kita apa lagi mangsa atau warisnya.
"Oleh itu, kita sedang mengumpulkan semua cadangan berkaitan sektor e-hailing ini dan akan menyampaikannya kepada pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri untuk pertimbangan lanjut secepat mungkin," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM ADA USAHA GALAK PEMANDU, PENUNGGANG E-HAILING CARUM PERKESO
No comments:
Post a Comment