MASJID disaran memainkan peranan penting untuk membudayakan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan penumpuan kepada penjagaan diri serta kawasan sekitar khususnya ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pemilihan institusi masjid sebagai pusat kempen budaya bersih amat tepat selaras dengan tuntutan menjaga kebersihan kepada umat Islam.
Menurutnya, sepanjang lebih tiga bulan lalu, pihaknya giat menjalankan kempen berkenaan khususnya di Lembah Klang dan ia bermula dengan pembabitan masjid sebagai simbol rujukan.
"Kita perlu bermula di tempat yang paling dimuliakan iaitu rumah Allah.
"Secara simboliknya begitu, kerana jika kita bersih, penyakit juga terhindar.
"Begitu juga ketika Covid-19 ini, selepas kita berdepan dengannya, semua pihak buka mata dengan pentingnya jaga kebersihan yang sepatutnya kita mulakan awal dulu lagi," katanya di majlis Sumbangan Perkhidmatan Pembersihan Pasarana (Masjid) Nyah Kuman dan Peralatan Canggih bersempena Kempen Kebersihan Rakyat dan Pencegahan Jangkitan Pandemik Covid-19 di Masjid Saidina Umar Al Khatab, Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama pakar kesihatan yang juga Pengerusi Sektor Kesihatan ARB Berhad Datuk Seri Prof Dr Abu Hassan Asaari Abdullah.
Nadzim berkata, Covid-19 memberi hikmah yang bukan sedikit kepada rakyat Malaysia dan dunia, malah kesannya menjadikan kita lebih peka dengan keadaan sekeliling.
"Sebelum ini, ramai juga yang sambil lewa mengenai kesihatan dan penjagaan diri.
"Sekarang nak masuk masjid pun perlu disinfeksi, ia bagus untuk semua jemaah yang hadir.
"Itu satu contoh bahawa masjid boleh memulakan langkah murni ini ketika negara luar masih bergelut mengenai kaedah terbaik.
"Malaysia beruntung kerana amalan dalam Islam itu sendiri boleh membantu mencegah penyakit," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
MASJID MAIN PERANAN KEMPEN BUDAYA BERSIH
No comments:
Post a Comment