Friday, May 25, 2018

4486) PERSATUAN HAKKA, PPIM BANTU LIMA SISWAZAH KURANG BERNASIB BAIK – PPIM – 24/5/18

KUALA LUMPUR 24 Mei – Persatuan Chha Yong Fay Choon Kuan Selangor dan Wilayah Persekutuan (atau lebih dikenali sebagai Persatuan Hakka) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengumumkan pemberian bantuan kepada lima siswazah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang memerlukan.
Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Persatuan Hakka, T.S Wong berkata, bantuan berjumlah RM1,000 setiap seorang tersebut merupakan pemberian ihsan bagi membantu para siswazah yang terpilih meringankan beban kos sara hidup dan pembelajaran mereka.
Beliau yang juga Ketua Biro Siasatan persatuan tersebut menjelaskan, selain itu, pemberian bantuan berkenaan adalah sebagai satu tanda persahabatan yang telah terjalin antara pihaknya dan PPIM.
“Pihak kami merasakan tiada cara yang lebih untuk meraikan persahabatan yang terjalin selain daripada berbuat kebajikan seperti pemberian bantuan ini.
“Kami berharap kerjasama yang dijalankan ini akan berkembang menjadi program kebajikan yang lebih besar dan mencapai lebih banyak golongan yang memerlukan,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
T. S. Wong seterusnya menjelaskan, kelima-lima pelajar yang bakal menerima bantuan berkenaan akan dipilih oleh PPIM dalam kalangan anak-anak ahlinya.
Pun begitu, untuk melayakkan para siswazah berkenaan menerima bantuan tersebut mereka perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pertubuhan.
Syarat-syarat berkenaan ialah, penerima mestilah berbangsa Melayu; beragama Islam dan sedang menuntut di universiti tempatan yang diiktiraf kerajaan.
Untuk memohon, para siswazah boleh memuat turun borang permohonan yang disediakan di laman facebook rasmi PPIM. – MEDIA PPIM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL