KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan akta atau undang-undang baharu bagi melindungi orang ramai yang terbabit dalam pelaburan mata wang digital.
Pengerusi Biro Undang-Undangnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, akta baharu itu akan membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengambil tindakan ke atas pihak yang membuat penawaran pelaburan.
“Mungkin juga akta sedia ada boleh dipinda dan dipertingkatkan supaya tidak ada kekosongan dari sudut perundangan untuk mereka melakukan penipuan.
“Kerana itu kita perlu lebih terkedepan daripada pihak yang menjalankan sindiket penipuan mata wang digital,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan di pejabat PPIM, di sini, hari ini.
Sidang media itu dibuat susulan penangkapan pemilik syarikat bergelar Datuk berhubung siasatan kes penipuan pelaburan mata wang asing, GWGFX dan bitcoin, Bitkingdom melibatkan 23 laporan polis dengan kerugian berjumlah RM13.9 juta.
Hishamuddin berkata, garis panduan segera oleh kerajaan mampu mengatasi kesan sosial yang timbul akibat penipuan sindiket mata wang digital, seperti ugutan samseng, kerugian pelabur dan keruntuhan institusi rumah tangga.
Katanya, sekalipun agensi kerajaan mendakwa transaksi mata wang digital tidak boleh dikawal selia kerana tiada bukti pembayaran, tetapi ada berlaku penawaran.
“Saya setuju tiada pembayaran kerana memakai mata wang krypto tetapi ada penawaran seperti iklan dan penawaran awam.
“Jadi, agensi pengawal selia perlu fikirkan satu tindakan berkaitan kaedah penawaran awam yang dibuat.
“Tindakan perlu dikenakan terhadap modal dan urus niaga yang tidak mematuhi SC,” katanya.
Sementara itu, aktivis PPIM Mohd Al-Iman Zakaria berkata, hasil laporan polis mendapati sindiket menyelewengkan sejumlah berjumlah RM925 juta.
Sindiket katanya, berleluasa di China, India, Singapura, Vietnam selain Malaysia membabitkan keahlian seramai 150,000 orang yang berdaftar di Asia termasuk 70,000 orang di Malaysia. – MalaysiaGazette
Artikel Oleh : Malaysia Gazette
PPIM MAHU KERAJAAN GUBAL AKTA PELABURAN MATA WANG DIGITAL
No comments:
Post a Comment