Monday, May 21, 2018

4480) 1500 BORANG DIAGIH – HARIAN METRO – 20/5/18



Menunggu seawal Subuh. Itu dilakukan lebih 500 asnaf dan golongan memerlukan demi mendapatkan borang bantuan sumbangan Aidilfitri yang diagihkan Tahfiz Al-Madrasatul Faridiyah, di sini, semalam.
Pusat tahfiz berkenaan milik Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan, mengagihkan 1,500 borang bantuan kepada penerima asnaf termasuk anak yatim dan golongan miskin bukan Islam.
Jawahar berkata, program kali ke-18 itu mendapat kerjasama Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) bagi memberikan sumbangan keperluan harian kepada golongan memerlukan.
“Mengikut perancangan, kami sepatutnya mula mengagihkan borang berkenaan jam 7 pagi, namun lebih 500 orang menunggu seawal Subuh. Berikutan itu kami terpaksa cetak borang tambahan kerana jumlah yang datang terlalu ramai.
“Alhamdulillah, ini antara cara kami bersedekah yang diadakan setiap tahun ketika Ramadan. Hari ini (semalam) mereka mengambil borang terlebih dulu dan majlis penyampaian serta berbuka puasa akan diadakan dalam waktu terdekat di padang Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai.
“Setiap seorang memperoleh barangan keperluan harian berjumlah RM250 dan diharap ia dapat meringankan beban untuk mereka menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Restoran Ali Maju, Taman Seri Rampai, semalam yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Sementara itu, Nadzim berkata, langkah proaktif dermawan ini wajar dicontohi oleh rakyat Malaysia yang mempunyai kemampuan dengan meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Sebenarnya ramai golongan asnaf sangat memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri dan disebabkan itu ada yang sanggup beratur seawal Subuh,” katanya.
Artikel Oleh : HARIAN METRO
1500 BORANG DIAGIH

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL