Saturday, May 12, 2018

4472) LEBUR RM350,000 – HARIAN METRO – 12/5/18



Kuala Lumpur: Tertarik dengan tawaran pinjaman berjumlah EUR10 juta (RM42 juta), seorang pengurus syarikat produksi kerugian RM350,000 selepas diperdaya individu bergelar Datuk Seri yang menguruskan pinjaman kewangan bagi pihaknya dari sebuah syarikat di London, United Kingdom (UK).
Dia yang memerlukan sejumlah besar wang untuk memulakan penggambaran filem terbarunya, Laksamana Melaka Terakhir, diperkenalkan kepada lelaki itu oleh seorang saudara sebelum diberi penerangan mengenai pinjaman yang akan dibuat.
Mangsa, Bakhtiar Ibrahim, 47, berkata, dia ditawarkan pinjaman EUR10 juta oleh syarikat berpengkalan di Singapura dan London yang mempunyai kaitan dengan Datuk Seri yang berusia 54 tahun itu.
 Katanya, dia juga diberi penerangan mengenai kaedah pengeluaran wang itu termasuk caj yang dikenakan merangkumi bayaran guaman dan rundingan yang keseluruhannya berjumlah RM350,000.
“Fasa pertama, saya diminta menyerahkan SGD15,000 (RM44,000) untuk membuka akaun dan pendaftaran syarikat di Singapura, hujung tahun lalu.
“Kemudian, saya bersama seorang rakan kongsi diminta menandatangani perjanjian di sebuah bank di Canary, London dan perlu menyerahkan 50,000 Pound Sterling (RM267,000) lagi untuk yuran rundingan.
“Bukan itu saja, saya dan rakan kongsi juga diminta menyerahkan bayaran tambahan USD10,000 (RM39,400) sebagai bayaran guaman dan sudah selesaikan semua jumlah wang yang diminta,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Bakhtiar berkata, dia dimaklumkan akan menerima pinjaman itu dalam tempoh tiga minggu, namun wang berkenaan tidak masuk ke akaun seperti mana dijanjikan.
Dakwanya, Datuk Seri berkenaan memberikan alasan, mereka memindahkan pengkalan dari Singapura ke Labuan yang menyebabkan proses itu mengalami kelewatan dan mengambil sedikit masa.
Ketika menghubungi Datuk Seri berkenaan untuk mengetahui status pinjaman, dia berikan bermacam-macam alasan sebelum berjanji memulangkan semula wang yang diserahkan.
“Awal tahun ini, dia menghantar surat makluman wang yang kami serahkan di pejabat peguam di Petaling Jaya akan dipulangkan dalam tempoh dua minggu. Namun sehingga hari ini, kami tidak terima apa-apa bayaran seperti dijanjikan.
“Dia ada serahkan cek berjumlah RM216,000, tetapi tidak dapat ditunaikan kerana ‘cek tendang’. Saya dan rakan kongsi sedar kami ditipu dan berusaha menghubunginya semula tetapi gagal.
“Saya juga sudah ke rumahnya di Puchong untuk bertanyakan hal itu, namun hanya isterinya yang ada dan dia pula berjanji menyelesaikan masalah ini bersama suaminya, tetapi kami masih hampa,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.
Sementara itu Pengerusi Biro Pembangunan Sosial PPIM Dr Mazlina Abu Bakar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki berkenaan turut memiliki dua pasport dan pernah terbabit dalam satu kes penipuan lain sebelum ini.
Beliau berkata, PPIM akan merujuk kes itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

Artikel Oleh : Harian Metro
LEBUR RM350,000

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL