Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima aduan mengenai sindiket menipu jualan tiket penerbangan murah oleh seorang wanita yang mengaku sebagai anak seorang ‘Tan Sri’.
Susulan itu pihak kami telah menjalankan siasatan dan mendapati wanita ini aktif memperdaya individu yang mencari pendapatan sampingan melalui penjualan tiket penerbangan murah.
Modus Operandi wanita yang dipercayai menjadi dalang penipuan ini adalah dengan cara melantik ejen-ejen penjualan tiket dan menjanjikan serta mengeluarkan tiket penerbangan palsu yang tidak wujud kepada pelanggan.
Oleh kerana kebiasaan proses pembelian tiket mengambil masa yang lama, contohnya pelanggan akan berurusan dengan ejen dilantik untuk menempah penerbangan enam bulan (6) lebih awal dari tarikh penerbangan, penipuan tidak dikesan pada awal perniagaan.
Namun begitu dalam masa yang singkat, wanita yang kami percayai terlibat secara langsung ini telah berjaya menipu ramai ejen dan seramai 11 orang telah tampil membuat laporan kepada pihak PPIM melibatkan jumlah kerugian hampir RM3.5 juta.
PPIM percaya ramai lagi yang terlibat termasuk anak kepada seorang peguam yang dikatakan mewakili wanita ini sebagai anak guam.
Setakat ini pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan terhadap ejen yang dilantik wanita ini namun sehingga kini wanita terbabit masih bebas menipu dan terkini, wanita terbabit sedang menjalankan sebuah perniagaan atas talian ‘online’ menjual produk kosmetik.
Difahamkan wanita yang juga pelajar perubatan tahun pertama disebuah institusi pengajian tinggi swasta ini juga cuba menipu rakan sekelas dengan menawarkan khidmat mendapatkan pinjaman dan biasiswa pelajaran oleh sebuah agensi kerajaan. Kes ini telah dimaklumkan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi tersebut serta agensi kerajaan terbabit. Kes difahamkan dalam siasatan pihak berwajib.
Dalam kes itu seramai 30 orang pelajar telah menyerahkan maklumat peribadi mereka bagi tujuan tersebut. Selain itu, wanita ini turut memperdaya mangsa dengan mengakui dirinya sebagai anak tetamu kehormat ‘VIP’ berpangkat ‘Tan Sri’.
Kami menyeru pihak berwajib terutama pihak PDRM supaya menyiasat kes ini secara menyeluruh dan teliti kerana ia melibatkan kepentingan awam dan nama baik pelancongan Malaysia. Malahan, lebih 11 laporan polis telah dibuat keatas wanita ini namun tiada sebarang tangkapan terhadapnya.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, menegaskan bahawa pihak PPIM mahu tindakan yang adil terhadap semua yang terlibat bukan hanya keatas ejen yang dilantik oleh wanita ini.
“Kita tidak menyatakan polis tak buat kerja, mereka telah siasat ejen-ejen dan ramai yang telah direman dan didakwa, tapi yang kami mahu tahu apa tindakan mereka terhadap dalang ini?” Katanya di sidang media PPIM disini hari ini.
Selain itu Nadzim turut mempersoal tindakan wanita itu yang terus mencabar undangundang negara dengan menawarkan pinjaman pelajaran kepada pelajar perubatan .
“Adakah kerana dia mengaku sebagai anak ‘Tan Sri’ dia kebal dan bebas melakukan jenayah dan membiarkan ejen yang dilantiknya sebagai kambing hitam, adakah perundangan negara kita begitu lemah sehingga perkara ini dibiarkan berterusan?”
Di sidang media hari ini seramai 11 pengadu yang merupakan ejen yang dilantik telah hadir memberi keterangan dan bukti-bukti. Kini PPIM mahu jawapan pihak berwajib apakah tindakan yang bakal dikenakan.