Friday, January 26, 2018

4330) CABAR LARANG PAKAI TUDUNG – METRO HARIAN – 26/1/18




Kuala Lumpur: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mencabar Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai larangan pemakaian tudung bagi pekerja wanita dalam sektor perhotelan.
Presiden UNI-MLC Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, diskriminasi berkenaan sudah lama dibangkitkan tetapi hotel terutama bertaraf lima bintang masih kekal dengan larangan itu yang kononnya termaktub dalam SOP mereka.
“Kita pernah adakan pertemuan membincangkan hal ini pada Disember lalu, semua agensi terbabit hadir tetapi MAH tidak hadir memberikan penjelasan, nampaknya sampai ke hari ini mereka tetap dengan pendirian melarang pemakaian tudung itu.
“Daripada kajian yang dilakukan, kita dapati 28 hotel bertaraf lima bintang masih kekal dengan pendirian itu dan kita tak tahu apa motif dalaman mereka, malah setiap pekerja hanya diberikan surat tawaran berkaitan bidang kerja dan gaji tanpa menyebut langsung pasal larangan memakai tudung ketika bertugas.
“Jadi jika benar ada SOP, saya mencabar MAH tunjukkan SOP itu dan saya juga meminta Kementerian Sumber Manusia untuk mengadakan pertemuan bersama agensi terbabit dan MAH untuk menyelesaikan isu ini dalam tempoh dua minggu kerana tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mengamalkan kebebasan beragama di negara ini,” katanya pada sidang media solidariti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu berkenaan di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC) Mohd Effendy Abdul Ghani, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar serta Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim Nurul Shuhadah Shuib.
Menurut Mohamed Shafie, jika tiada kerjasama daripada pihak terbabit dalam menyelesaikan isu itu, pihaknya bersama rakan NGO lain akan mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis dan mengadakan piket serta mengedarkan senarai nama hotel terbabit.
Sementara itu, Rafidah Hanim berkata, WAFIQ menerima lebih 20 aduan larangan pemakaian tudung daripada pekerja hotel wanita bukan saja bekerja di barisan depan kaunter malah dalam pelbagai bahagian di sektor perhotelan dan mengharapkan kerajaan bertindak tegas serta memelihara maruah anak watan yang bekerja dengan entiti antarabangsa yang gagal menghormati perlembagaan.
“Pekerja hotel ini berkhidmat antara tiga hingga 27 tahun masih dinafikan hak untuk memakai tudung. Selain itu, kita juga menerima aduan wanita yang memohon latihan industri dalam sektor ini yang menerima nasib sama.
“Saya sebagai doktor perubatan apabila menemuramah mereka merasakan tekanan mental yang dihadapi wanita ini yang kecewa apabila hak dinafikan dan bekerja dalam keadaan tertekan.
“Saya juga rasa ada satu dikriminasi di sini, apabila sekitar bulan Julai dan Ogos banyak hotel mengalu-alukan kedatangan pelancong Timur Tengah yang kebanyakannya bertudung untuk mendatangkan keuntungan kepada hotel tetapi pada masa sama tidak membenarkan pekerja memakai tudung,” katanya.

Artikel Oleh :  Metro
CABAR LARANG PAKAI TUDUNG

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL