TAHUN baharu 2018 masih diramal sebagai satu lagi tahun yang bakal memberikan cabaran besar kepada aspek ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Walaupun pihak kerajaan cuba melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk dengan pelbagai insentif melalui Bajet 2018 namun jika rakyat sebagai pengguna tidak bijak, maka masalah sama akan terus berlarutan.
Jadi, bagi meneruskan kehidupan pada tahun baharu ini dalam keadaan yang masih tidak begitu pasti eloklah kita sebagai pengguna ambil beberapa langkah yang bijak dan berhemah supaya kita dapat terus bertahan dan meneruskan survival kehidupan harian.
Harus diingat, pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) masih tidak menentu. Namun kenaikan kos sara hidup terus berlaku dan ini sangat mencengkam kehidupan kelompok ini.
Jadi, sekarang terpulanglah kepada kita bagaimana mahu menyusun aturan kehidupan dan perbelanjaan kita supaya dapat meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Sebagai pengguna, sudah tiba masanya untuk kita memperkasakan kedudukan dan kuasa kita sebagai pengguna. Penulis percaya dengan cara ini kita dapat menguruskan dan mendepani cabaran ekonomi yang tidak menentu serta kenaikan kos sara hidup.
Kita tidak mahu peniaga tamak dan rakus menjadi raja dan mengawal selia perbelanjaan dan kehidupan kita. Kita perlu bangkit mempertahankan hak kita sebagai pembeli dan pengguna.
Jangan sama sekali beri muka kepada peniaga dan pemborong yang sentiasa mahu cekik darah pengguna dengan pelbagai alasan yang klise seperti ketidakstabilan mata wang dan kenaikan harga bahan mentah.
Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengguna bijak, kita wajar bangkit menyuarakan isu-isu kepenggunaan yang berkaitan supaya dapat menghalang mahupun menangani masalah kenaikan harga barang yang dilihat menjadi antara punca utama menaikkan kos sara hidup rakyat.
Formulanya mudah, untuk mengurangkan masalah kenaikan kos sara hidup kita perlu selesaikan isu pokok atau dari peringkat akar lagi. Dalam hal ini isu pokok ialah kenaikan harga barang yang membawa kepada kenaikan kos sara hidup. Jadi, pengguna perlu bangkit mengajar para pemborong dan peniaga supaya mereka tidak bermain-main dengan harga atau sesuka hati menaikkan harga barangan.
Selama ini sikap acuh tak acuh dan tidak peduli serta tidak mahu ambil tahu masalah pokok seperti ini cukup merugikan pengguna. Kita hanya mampu ‘bising’ di belakang atau merungut menyalahkan semua orang apabila harga barangan meningkat tetapi kita sendiri gagal bertindak untuk menangani masalah ini secara bersama.
Justeru, marilah kita pasang tekad dan azam agar pada tahun baharu ini kita bukan lagi sekadar ‘bising’ dan cakap belakang.
Tanggungjawab untuk menangani masalah kepenggunaan tidak wajar diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata. Ironinya mana mungkin pihak penguat kuasa misalnya mampu memantau setiap peniaga yang ada di seluruh pelosok negara ini.
Malah peniaga dipantau dan disaman pada hari ini boleh saja mengulangi perbuatan sama pada keesokan hari kerana mereka tahu penguat kuasa tidak mampu datang setiap hari. Jadi akhirnya pengguna juga yang menjadi mangsa keadaan.
Itulah sebabnya kita berharap sangat agar pengguna boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jika ada peniaga yang bermain-main dengan harga barangan segera laporkan kepada pihak berkuasa di samping terus memboikot peniaga terbabit.
Sekali lagi kita perlu bijak dalam urusan membeli-belah. Ambillah sedikit masa untuk merancang pembelian dan perbelanjaan kita. Jangan terlalu cepat dan terburu-buru ketika berbelanja.
Ambil masa untuk turun naik beberapa buah kedai untuk meneliti dan membandingkan harga yang mereka kenakan sebelum membuat keputusan pembelian. Sikap malas dan tidak cermat kita dalam soal perbandingan harga ini jelas merugikan pengguna dan sekali gus menguntungkan peniaga tamak.
Di samping itu kita juga perlu terima hakikat betapa pendapatan kita masih sekadar cukup makan saja. Maka, eloklah ukur baju di badan sendiri dengan melakukan perancangan teliti dalam soal perbelanjaan harian seisi keluarga.
Belanjalah mengikut keperluan dan keutamaan dan bukannya mengikut nafsu dan kehendak. Jangan juga mudah tertipu dan terpedaya dengan pelbagai tawaran diskaun dan potongan harga kononnya menarik dan sangat murah yang sebenarnya memerangkap pengguna. Jangan biarkan perubahan gaya hidup dan cita rasa mempengaruhi gaya perbelanjaan kita sehingga boros dan membazir.
Secara prinsipnya untuk memperkasa kuasa pengguna, kita perlu memiliki ilmu pengetahuan yang baik tentang isu-isu kepenggunaan supaya boleh menjadi pelindung dan juga panduan ketika kita berbelanja serta berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.
Dalam hal ini kita berharap persatuan-persatuan pengguna yang sangat aktif seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama-sama dengan pihak berkuasa akan memantapkan proses menerapkan elemen pendidikan kepenggunaan dalam kalangan anggota masyarakat kita.
Umumnya peningkatan kos sara hidup memang memeritkan. Namun jika kita bijak dan cerdik menggunakan kuasa sebagai pengguna pasti dapat menangani dan mengharungi masalah tersebut serta meneruskan survival kehidupan harian. Semoga tahun 2018 ini mencetuskan sinar keinsafan kepada kita untuk bangkit memperkasakan kedudukan dan kuasa kita sebagai pengguna.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
MEMPERKASA KUASA PENGGUNA
No comments:
Post a Comment