KOTA BHARU: Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mensensasikan atau mempopularkan sebarang video yang tidak bermanfaat, termasuk perilaku sesetengah individu lelaki yang berlagak seperti wanita.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia berikutan perkara itu tidak boleh membangunkan pemikiran dan jati diri rakyat.
“Ada banyak lagi perkara yang lebih penting dan bagi saya, pihak media juga tidak perlu sensasikan isu yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya tidak berhajat mahu komen benda yang tidak mampu membawa makna kepada pembangunan ummah dan negara.
“Jadi, saya berharap rakyat juga harus dididik supaya video yang tidak memberi sebarang makna tidak perlu diarus perdana dan mempopularkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pendidikan Islam Kelantan Anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Konvensyen berkenaan dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, agensi berkaitan kerajaan digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap perilaku sesetengah individu lelaki popular menerusi laman sosial yang berlagak seperti wanita sebagai usaha membendung penularan sikap seperti ini.
Individu yang digelar ‘instafamous’ ini rata-rata adalah lelaki yang dilihat membuat pelbagai video parodi mengenakan pakaian wanita dan memuat naik aktiviti mereka di laman Instagram bagi tujuan mempromosi produk, menyindir atau meniru gaya melucukan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata agensi kerajaan atau yang berkaitan serta majlis agama perlu memantau selain membangunkan satu modul bagi melihat senario yang berlaku di sekeliling mereka.
Artikel Oleh : Berita Harian
JANGAN SENSASI BENDA TIDAK BERMANFAAT
No comments:
Post a Comment