Friday, November 7, 2014

2223) MYNEWSHUB 5/11/2014 - Spritzer Tarik Balik Air Mineral Ada Gambar Dewa Hindu


Ekoran pendedahan dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), syarikat pengeluar air mineral, Spritzer Berhad menarik semula penjualan minuman mereka yang mempunyai gambar patung dewa Hindu Batu Caves dari pasaran.

Memetik laporan The Rakyat Post, Pengurus Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin berkata, semua wakil jualan syarikatnya telah diarahkan menarik kembali produk tersebut di rak-rak jualan setiap premis seluruh negara.

Selain itu, Spritzer menghentikan proses cetakan gambar tersebut di kilang dan memastikan produk yang sedia untuk dipasarkan tidak dikeluarkan dari gudang.

“Syarikat kami bukan tidak sensitif terhadap isu ini tetapi tidak menyangka tempat tumpuan pelancongan akan dikaitkan dengan isu keagamaan. Kami juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, syarikat tersebut belum memutuskan untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka buat masa ini.

Chin menerangkan, Spritzer melakukan kolaborasi dengan Lembaga Pelancongan Malaysia untuk mempromosikan kawasan pelancongan di negara ini dan gambar kuil Hindu Batu Caves merupakan salah satu yang dicetak pada minuman keluaran syarikat tersebut.

“Kami memohon permit dari Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia dan mendapat kebenaran untuk mencetak imej tempat-tempat tumpuan pelancong pada botol minuman seperti Persiaran Gurney, Dataran Lang, Zoo Taiping, Menara Berkembar Petronas dan Putrajaya.”

Pendedahan isu gambar kuil Hindu pada botol minuman Spritzer dibuat oleh Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam satu sidang media, semalam.

Beliau mempertikaikan produk tersebut kerana ia menimbulkan keraguan dan ketidakselesaan pengguna Islam.

Selain itu, Nadzim mempersoalkan logo halal yang digunakan bersama cetakan gambar tersebut. – MYNEWSHUB.CC


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL