KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan perlu membentuk satu saluran khusus bagi memudahkan masyarakat menyampaikan maklumat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah kebanjiran warga asing di Cameron Highlands.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, satu saluran khusus seperti ‘Rakan Cop’ yang dibentuk untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras jenayah perlu dibentuk bagi memudahkan masyarakat berhubung dengan pihak berkuasa dalam mengatasi masalah kebanjiran warga asing.
“Masyarakat perlu bertindak menjadi mata dan telinga kerana pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen tidak mampu melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh jika masyarakat tidak memberikan kerjasama secara berterusan.
“Jadi, pembentukan satu saluran khusus itu perlu kerana Jabatan Imigresen juga masyarakat biasa dan mereka memerlukan kerjasama daripada orang ramai untuk membuat sesuatu tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan mengenai kebanjiran warga asing di Cameron Highlands yang bukan sahaja bekerja di kebun sayur tetapi juga bebas memiliki kebun, berniaga di pasar malam serta membuka kedai runcit.
Akhbar ini melaporkan jumlah warga asing khususnya Bangladesh yang menetap dan bekerja di pusat peranginan tersebut berada pada tahap cukup serius.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sikap masyarakat yang tidak mengambil peduli masalah tersebut juga perlu diubah untuk memastikan setiap isu yang berlaku dapat diatasi dengan sepenuhnya.
“Saya tidak nampak kita boleh pergi jauh untuk menyelesaikan masalah ini selagi sikap dan budaya masyarakat masih pada takuk lama. Jadi, budaya masyarakat yang sentiasa mengambil berat dan bekerjasama perlu dibentuk agar mereka dapat bersama-sama membantu pihak berkuasa,” jelasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syarifudin Musa berkata, kerajaan perlu melakukan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan berkala bagi menangani masalah kebanjiran warga asing di Cameron Highlands.
Beliau bimbang jika perkara itu tidak dibanteras, pusat peranginan tersebut akan terus dikuasai peniaga warga asing sama seperti yang berlaku di Chow Kit dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.
“Kerajaan perlu tegas mengambil tindakan secara berterusan dan bukannya apabila ada kes baru bertindak. Malah, kerajaan juga perlu meluaskan tangkapan terhadap warga asing,” katanya.
No comments:
Post a Comment