
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan tiga bank
milik negara iaitu Maybank, RHB dan CIMB yang memberi pinjaman tanpa cagaran
bernilai RM2.51 bilion kepada Genting Hong Kong adalah tidak wajar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ia menunjukkan bahawa pihak bank
hanya lebih tertarik memberi pinjaman kepada konglomerat besar daripada
memberikan pinjaman kepada peniaga kecil tempatan.
“Peniaga kecil yang ingin memohon pinjaman sekecil-kecil akan diminta
untuk mengemukakan cagaran, tetapi pihak konglomerat seperti Genting Hong Kong
dan lain-lain diberikan pinjaman tanpa cagaran begitu sahaja.
“Inilah sikap bank yang begitu memandang serong terhadap peniaga di
negara sendiri dan 'menyanjung' jerung-jerung besar antarabangsa seolah-olah
kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga bank Malaysia dinamakan sebagai
antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan
pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Pada masa sama, PPIM berkata, situasi itu telah menimbulkan pelbagai
persoalan apatah lagi pemegang saham kepada ke tiga-tiga bank tersebut adalah
terdiri daripada kumpulan permodalan rakyat Malaysia yang terbesar iaitu,
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP),
Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tabung Haji (TH).
“Menteri Kewangan harus mengambil tanggungjawab memikirkan cara mendapatkan semula pinjaman tersebut agar wang simpanan hari tua dan modal pelaburan rakyat negara ini tidak terjejas,” katanya.
#Berita757 #RakyatKeutamaanKami #Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Artikel oleh: Berita 757
PPIM PERSOAL PINJAMAN TANPA CAGARAN GENTING HK
https://www.facebook.com/berita757/posts/266760482252167