Showing posts with label 9 DRAGON. Show all posts
Showing posts with label 9 DRAGON. Show all posts

Thursday, September 23, 2021

5950) BERITA 757 | SEMBILAN ‘DRAGON’ MASIH KAWAL MALAYSIA? - BERITA 757 - 11/09/2021

 

Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini yang didakwa didalangi sembilan ketua atau digelar ‘dragon’ masih wujud sehingga ke hari ini.
Meskipun pendedahan pernah dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada tahun 2017, namun sampai ke hari ini kumpulan ‘dragon’ difahamkan masih berleluasa.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan memberitahu Berita 757, kumpulan itu masih berleluasa dan ia seperti tiada jalan penyelesaian.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, hari ini satu kumpulan ‘dragon’ mampu mengaut RM30 juta sehari hasil daripada kegiatan perjudian serta pelbagai aktiviti haram di seluruh negara.
Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk menukarkan pegawai penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka hanya dalam tempoh 24 jam.
Katanya, selain melibatkan isu penguatkuasaan, ia turut berkait rapat dengan soal integriti yang mana pihak berkuasa bersekongkol serta menerima suapan daripada kumpulan terbabit.
“Mereka ini macam Yakuza di Jepun. Mereka akan kawal semuanya. Malah mereka juga yang berkuasa memindahkan dan mengatur pegawai atasan.
“Perkara ini tidak akan selesai selagi tiada kesedaran, selagi kiri kanan pegawai ambil duit daripada mereka.
“Selagi pihak atasan bekerjasama dengan mereka, begitulah masalah ini tidak akan dapat di atasi,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.
Pada 2017, sebuah akhbar mendedahkan sembilan ‘dragon’ mengawal penguat kuasa di negara ini dan meraih RM5 bilion setahun.
Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang perlindungan.

Artikel oleh: Berita 757

BERITA 757 | SEMBILAN ‘DRAGON’ MASIH KAWAL MALAYSIA?

Monday, October 23, 2017

4182) ‘DRAGON’ JUDI MAHU AJAR PPIM – HARIAN METRO – 20/10/17



PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan memberi keterangan kepada polis berhubung beberapa ugutan dan ancaman diterima daripada sindiket perjudian.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan sebelum ini mendedahkan kegiatan perjudian haram dan aktiviti tidak bermoral di negara ini didalangi sembilan ketua digelar ‘dragon’ yang mengutip RM5 bilion sebulan.
Menurutnya, sindiket itu mengancam menyerang PPIM bila-bila masa selepas pendedahan berkenaan.
“Saya akui antara kandungan mesej diterima, mengatakan PPIM perlu ‘diajar’ selepas mendedahkan kegiatan mereka,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri meminta PPIM mengemukakan bukti dakwaan berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti dakwaan itu benar.
“Saya minta badan bukan kerajaan seperti ini membuat laporan polis. Saya bimbang keselamatan mereka jika benar dakwaan itu,” katanya .
Nadzim turut mendakwa sembilan dragon itu mempunyai ‘kuasa’ dalam agensi penguat kuasa di negara ini selain mampu menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.
Pada sidang media hari ini, Nadzim berkata, pihaknya akan memberi maklumat dan bukti berhubung kegiatan kumpulan besar itu kepada polis Bukit Aman minggu depan.
Menurutnya, ancaman itu tidak menggusarkan PPIM kerana pihaknya yakin pihak berkuasa serta rakyat bersama-sama mereka membanteras kegiatan itu.
“Saya tidak menyesal mendedahkan hal ini kerana aktiviti perjudian ini menyebabkan kepincangan dalam masyarakat dan institusi kekeluargaan.
“Berdasarkan tinjauan Kementerian Wilayah Persekutuan, jumlah pusat perjudian meningkat daripada 600 kepada 3,000 di Lembah Klang dalam tempoh dua tahun,” katanya,

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL