Tuesday, January 5, 2021

5251) IKAN MURAH BOLEH JADI PENYELESAIAN ISU KARTEL DAGING HARAM - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 02/01/2021


SUNGAI BULOH – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak menolak kemungkinan masalah kartel daging haram boleh diatasi dengan memastikan harga ikan di pasaran pada harga mampu milik.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ketika umat Islam sedang keliru dan bimbang dengan status halal daging import, orang ramai boleh menjadi sumber laut sebagai pilihan makanan yang tidak diragui kehalalannya.

Ikan segar yang dijual sempena Program Kongsi Rezeki di Pasar Borong Pukat, Saujana Impian, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2021.

“Paling dahsyat ini kita sudah ada masalah, nak makan daging pun serba salah, mungkin ini (ikan murah) jawapan kepada masalah daging yang kita hadapi.

“Saya harap usaha ini disambut, di sini pun ikan tidak terlalu mahal. Kalau ikan merah RM30 lebih tapi di sini RM20 lebih.

“Saya rasa perkara ini harus disambut dan dibantu oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program kongsi rezeki anjuran Pasar Borong Pukat di Saujana Utama, hari ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap kepada media selepas Program Kongsi Rezeki di Pasar Borong Pukat, Saujana Impian, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2021.

Dalam pada itu, PPIM katanya akan cuba mengetengahkan usaha jualan ikan murah ini kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memberi peluang kepada warga kota mendapatkan bekalan ikan murah.

“Ikan bagi kucing pun sekilo RM4 dan usahawan ini boleh membawa produk ke Kuala Lumpur. Mungkin boleh bawa kepada Tan Sri Annuar Musa bagaimana usaha seperti ini dapat memberi kemudahan kepada orang yang tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, dengan usaha jualan ikan murah dapat membuang stigma masyarakat bahawa sumber laut kekal menjadi makanan premium dalam kawasan bandar.

“Kena bagi orang Kuala Lumpur sama, takkan orang Kuala Lumpur nak makan daging sahaja. Bagi peluang. Saya rasa kalau gaji di Kuala Lumpur biasanya RM3,000 hingga RM4,000 tak boleh makan ikan.

“Sekarang ini orang nak makan daging pun kena tanya itu tanya ini, tak ada jawapan.

“Jadi Alhamdulillah usaha ini dapat dibantu bagi membantu golongan yang terjejas akibat isu daging,” katanya.

Sementara itu, Pemilik Pasar Borong PUKAT, Azmi Mohd Ali berkata, harga berkala ikan dapat dijual pada harga lebih murah dari pasaran kerana tidak melibatkan orang tengah.

Pemilik Pasar Borong Pukat, Azmi Mohd Ali bercakap kepada media selepas Program Kongsi Rezeki di Pasar Borong Pukat, Saujana Impian, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2021.

“Harga ikan daripada nelayan sebenarnya memang murah, cuma ada beberapa lapisan sampai kepada nelayan. Kami pakai lori sendiri, kita pakai orang sendiri dan kita ada bot kita sendiri yang terletak di Kuala Kedah dan Tok Bali.

“Kita cuba berpakat dengan nelayan-nelayan supaya ikan-ikan itu tolak dengan kita dengan harga yang murah.

“Tak patutlah harga yang ada di pasaran ini melampau-lampau, dengan pandemik Covid-19 ini ramai yang masih susah,” katanya lagi.


Artikel oleh: Malaysia Gazette

IKAN MURAH BOLEH JADI PENYELESAIAN ISU KARTEL DAGING HARAM - PPIM


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...