Saturday, January 30, 2021

5351) PINJAM RM1,000 BAYAR DAH LEBIH RM100,000 - HARIAN METRO - 29/01/2021


Kuala Lumpur: Perah sampai kering. Itu istilah digunakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merujuk kepada ceti haram atau along yang semakin rancak mengenakan caj tinggi kepada peminjam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, sejak setahun lalu, pihaknya kembali menerima aduan tidak masuk akal termasuk berkaitan kadar caj melebihi 100 kali ganda.

Katanya, dalam kes terbaru, seorang peminjam kini dihimpit hutang apabila dipaksa membayar lebih 100,000 untuk pinjaman RM1,000.

"Ini antara aduan yang kita terima sepanjang PKP. Selain itu golongan peniaga juga dikesan menjadi antara peminjam paling ramai setakat ini.

"Secara keseluruhan, kes yang kita terima dan uruskan meningkat 30 peratus daripada biasa," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, along menjadikan alasan PKP sebagai tema untuk menawarkan pinjaman kepada orang ramai yang sangat terdesak.

Menurutnya, along juga menawarkan pinjaman kepada peniaga kononnya untuk membantu mereka, namun ia hanya pada peringkat awal, selepas itu peminjam dikenakan caj tidak masuk akal.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya meminta kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan moratorium tanpa syarat kepada rakyat supaya mereka dapat menanggung bebanan kewangan ketika ini.

Katanya, ia difikirkan perlu memandangkan pengguna sukar mendapatkan pembiayaan peribadi dari institusi kewangan sewaktu PKP selain terpaksa mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.

"Sekarang semua pihak tertekan dan kita tidak boleh tunggu lagi. Data yang kita ada menunjukkan jumlah peminjam baru semakin meningkat, ia sesuatu yang amat tidak sihat," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

PINJAM RM1,000 BAYAR DAH LEBIH RM100,000

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/669293/pinjam-rm1000-bayar-dah-lebih-rm100000 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...