Saturday, March 30, 2019

4864) INSTITUSI BANK PERLU ADA SIFAT KEMANUSIAAN - MALAYSIA GAZETTE - 29/3/19



KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya bertindak tegas terhadap institusi-institusi perbankan yang dilihat sewenang-wenangnya mengenakan faedah berlebihan kepada peminjam mereka.
Perkara tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berlaku kerana ia hanya membawa kerugian kepada negara, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.
Sambil memberi contoh, seorang jurutera berkemungkinan tidak boleh meneruskan kerjayanya apabila disenarai hitam oleh pihak bank begitu juga jika ia melibatkan seorang akauntan.
“Kalau boleh minta kerajaan lihat balik, wujudkan sifat kemanusiaan dalam sistem di negara ini. Bila seseorang itu bangkrap ia merupakan kerugian kepada negara.
“Kalau dia engineer tak boleh jadi engineer, kalau akauntan tak boleh jadi akauntan. Semua ini bahaya maknanya bawa kerugian kepada negara,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Nadzim, mungkin perlu diwujudkan satu peruntukan undang-undang bagi membela nasib mereka-mereka yang ditindas oleh institusi-institusi perbankan terbabit.
Katanya, ia sebagai langkah untuk membantu golongan peminjam yang teraniaya dan kaedah untuk melaksanakannya perlu dikaji.
Pada perkembangan lain, Nadzim menegaskan, agar birokrasi di jabatan atau agensi kerajaan yang masih berlaku dihapuskan terus kerana ia tidak membantu sebaliknya hanya menyusahkan orang ramai.
Ujarnya, sesuatu perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat tetapi menjadi panjang sehingga bertahun-tahun sedangkan negara kini sudah berada dalam arena Malaysia baharu.
“Jadi, kita harap dengan adanya sifat kemanusiaan pada diri rakyat Malaysia kita akan ubah semua itu untuk keharmonian semua.
“Kita ubahlah untuk kebaikan, kalau boleh minta kerajaan lihat balik. Wujudkan kemanusiaan juga dalam sistem di negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Artikel Oleh : Malaysia Gazette
 INSTITUSI BANK PERLU ADA SIFAT KEMANUSIAAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...