Saturday, March 30, 2019

4865) 50 MUFLIS SETIAP HARI – HARIAN METRO – 30/3/19



KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengharapkan kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan institusi perbankan serta kewangan di negara ini membantu individu berstatus muflis tanpa mengamalkan birokrasi bagi membolehkan masalah mereka diselesaikan segera.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, tanpa kerjasama agensi itu, masalah tidak akan selesai kerana sejak kebelakangan ini banyak aduan diterima pihaknya daripada individu yang diisytiharkan muflis kerana gagal melunaskan ansuran bulanan kereta, rumah, pinjaman peribadi dan menjadi penjamin.
Menurut Nadzim, pengadu yang tampil membuat aduan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan sebahagiannya mendakwa masalah mereka berlarutan sejak sekian lama kerana tidak mendapat salinan bukti hutang (POD) hingga menyebabkan hutang yang ada gagal dilangsaikan sepenuhnya.
“Setiap hari 50 individu diisytiharkan muflis dan berdasarkan aduan diterima, kebanyakan pengadu tertekan disebabkan berdepan kerenah birokrasi institusi perbankan.
“Justeru, MdI perlu membantu individu itu terutama dalam mendapatkan POD supaya peminjam tahu jumlah tuntutan dikenakan terhadap mereka di samping mengkaji semula sistem sedia ada.
“Dalam erti kata lain, agensi berkaitan perlu mencari kaedah membantu bukannya menambah masalah, namun sebaliknya berlaku apabila menjadi alasan memberi tekanan kepada peminjam.
“Ada kes boleh diselesaikan dengan cepat tetapi mengambil masa lama disebabkan kerenah birokrasi, tetapi kami percaya bukan semua pegawai begitu kerana ramai yang memberi khidmat dan layanan baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Restoran Ali Maju, Rampai Business Park, Setapak, di sini semalam.
Tambah Nadzim, pihaknya berharap semua agensi kewangan termasuk institusi perbankan Islam perlu meletakkan elemen kemanusiaan sebagai tunggak keutamaan dalam perkhidmatan termasuk ketika berurusan dengan individu yang diisytihar muflis.
Sementara itu, Hamzah Kamaruddin, 59, berkata, dia diisytiharkan muflis pada 2012 dan masih kekal dengan status itu walaupun sudah menyerahkan wang deposit RM1.8 juta hasil jualan rumah kepada MdI.
Katanya, status muflis menyebabkan dia menyewa hingga kini dan tidak boleh ke luar negara untuk urusan perniagaan.
“Pelbagai usaha sudah saya lakukan untuk membebaskan diri daripada status muflis termasuk dengan menjual rumah dan pejabat namun kerenah birokrasi menyebabkan berlarutan hingga ke hari ini.
“Memandangkan tiada cara lain, saya tampil membuat aduan kepada PPIM dan diharap ada jalan penyelesaian kerana niat saya membina hidup baru tanpa terikat lagi dengan status muflis,” katanya yang kini menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Artikel Oleh : Harian Metro
50 MUFLIS SETIAP HARI

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...