Perhimpunan tersebut yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia mencetuskan kontroversi kerana turut melaungkan slogan menuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disifatkan sebagai bertentangan dengan prinsip rukun negara
Wakil NGO-NGO berkenaan yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat berkata, pihaknya mendesak pihak berkuasa menyiasat penganjur dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
“Kita menentang sekeras-kerasnya segala gerakan dan aktiviti mempromosi LGBT. Fahaman golongan ini merupakan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran agama, masyarakat, perlembagaan serta amalan demokrasi negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Masridzi memberitahu, laporan berkenaan sebagai langkah permulaan bagi beberapa laporan lain yang akan dilakukan selepas ini serta himpunan besar kelak.
“Saya dan wakil NGO hari ini menyeru seluruh umat Islam bangkit membuat laporan polis seperti yang dilakukan dalam isu Hina Nabi sebelum ini.
“Kita lihat apabila banyak laporan polis dilakukan maka baru tindakan akan diambil pihak berkuasa bagi menangani isu menghina nabi. Maka perkara yang sama perlu dilakukan dalam isu ini,” ujarnya yang hadir bersama 20 individu lain.
Terdahulu, Perkid bersama PPIM, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia), Gerakan Srikandi Malaysia (GSiM), Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), Pertubuhan Kebajikan Harimau Keramat Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kucing Merah Kuala Lumpur hadir ke IPD berkenaan kira-kira pukul 3 petang untuk membuat laporan polis. – UTUSAN ONLINE