Tuesday, March 26, 2019

4856) PPIM, MATE GESA KERAJAAN SELARAS PERJANJIAN JUAL BELI PERBANKAN – BERITA HARIAN – 26/3/19



KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyelaraskan semula beberapa perjanjian bank berhubung pembelian aset yang didapati menjerat pelanggan.
Presiden Mahkamah Timbangtara (MATE), Tan Sri Prof Dr Muslim Yacob, berkata kebanyakan perjanjian jual beli rumah kini membabitkan tiga instrumen merangkumi surat ikatan serah hak, surat kuasa wakil dan perjanjian jual beli.
Katanya, ini jelas berat sebelah kerana pada akhirnya 70 peratus daripada perjanjian itu berpihak kepada bank dan menyebabkan pengguna mudah dimanipulasi.
“Dulu kita hanya ada satu instrumen iaitu perjanjian jual beli saja yang lebih memperkasakan perbankan Islam.
“Situasi kini memperlihatkan pihak bank memaksa pelanggan menandatangani perjanjian surat kuasa wakil dan surat ikatan serah hak.
”Ia turut mengikat pelanggan mematuhi segala syarat walaupun secara terangan memihak lebih kepada bank, “katanya kepada media pada pelancaran Kempen Kemanusiaan dalam Perbankan.
Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pakar Penasihat Muamalat PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied.
Selain itu, Muslim juga berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga disarankan untuk menetapkan satu perjanjian standard antara bank berkaitan pinjaman supaya ia tidak berlaku penindasan terhadap pelanggan.
“Jika berlaku lelongan rumah, setiap bank mempunyai kaedah penyelesaian yang berbeza malah mengelirukan pelanggan mereka.
“Contoh mudah adalah pemberian tempoh masa bagi pembayaran sebelum aset pelanggan seperti rumah, tanah atau kereta ditarik dan seterusnya dilelong,” katanya.
Sementara itu, Sheikh Abdul Kareem, berkata beliau mahu institusi perbankan lebih holistik dengan bersikap lebih kemanusiaan.
“Pihak bank jangan hanya fikirkan keuntungan semata-mata ia mempunyai tanggungjawab untuk membantu pelanggan.
“Kenaikan kos hidup adalah berpunca daripada sistem perbankan itu sendiri, justeru bank perlu berubah menjadi lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian
PPIM, MATE GESA KERAJAAN SELARAS PERJANJIAN JUAL BELI PERBANKAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...